Agensi Islam Persekutuan perlu ada bawah Majlis Raja-Raja

DATUK Dr Mujahid Yusof Rawa.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Semua hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan perlu diletakkan di bawah kuasa Majlis Raja-Raja untuk mengembalikan maruah serta memperkasa institusi itu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata Majlis Raja-Raja perlu menjadi penentu perjalanan dasar Islam di negara ini, manakala agensi hal ehwal Islam bawah Kerajaan Persekutuan hanya bertindak sebagai pelaksana.

Katanya, ia bagi mengelakkan agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disalah gunakan bagi kepentingan politik serta membelakangkan Majlis Raja-Raja.

“Kita lihat sebelum ini wujud campur tangan politik dalam agensi seperti JAKIM ketika pentadbiran kerajaan sebelum ini, contohnya ketika isu Rang Undang-Undang (RUU) 355.

“Sepatutnya nak bawa cadangan di Parlimen pun perlukan persetujuan raja-raja, tetapi hingga saat ini, setahu kami Majlis Raja-Raja tidak pernah perkenankan pun.

“Institusi lain juga digunakan bagi menyokong kumpulan politik tertentu, hingga tanpa disedari, tindakan itu bercanggah dengan kuasa Majlis Raja-Raja,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ketika ini, sebanyak 12 agensi hal ehwal Islam berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, iaitu JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji (TH), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Selain itu, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dan Yayasan Waqaf Malaysia, selain Al-Hijrah Media Corporation.

Mujahid berkata, cadangan meletakkan agensi Islam di bawah Majlis Raja-Raja tidak bererti institusi itu akan terbabit secara langsung dalam urusan harian agensi berkaitan.

“Pentadbiran harian seperti pengurusan agensi dan kewangan dijalankan kerajaan, selagi mana kuasa Majlis Raja-Raja tidak diambil atau diceroboh tanpa disedari.

“Contohnya, dulu didedahkan bagaimana menteri bertanggungjawab ketika menyalahgunakan dana YaPIEM, sedangkan agensi itu sepatutnya tumpu pada pembangunan ekonomi Islam. Ini tidak boleh dibenarkan berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, bersetuju dengan pelaksanaan cadangan itu yang bakal mengembalikan kuasa Raja, selaras Perlembagaan Persekutuan.

“Islam kekal di bawah kuasa Raja dan Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan, namun Kerajaan Persekutuan masih perlu wujudkan portfolio untuk mengekalkan seorang menteri untuk bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam.

“Ini kerana Kerajaan Persekutuan masih ada tanggungjawab dalam undang-undang Islam,” katanya.

Shamrahayu berkata, adalah tidak adil bagi pihak tertentu menuntut JAKIM dimansuhkan kerana kewujudannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum ini, satu institusi sebagai sekretariat kepada Majlis Hal Ehwal Agama Islam diwujudkan pada 1968 dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“JAKIM asalnya adalah sekretariat itu sebelum diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Jadi, tidak adil untuk mencadangkan ia dibubarkan,” katanya.

Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty, turut bersetuju dengan usaha itu, namun ia perlu diperhalusi menerusi perbincangan antara kerajaan dan Majlis Raja-Raja.

“Mengikut Perlembagaan, Sultan dan Raja adalah ketua agama Islam, dan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) juga kami merancang mengembalikan kuasa Sultan bagi mengukuhkan Islam.

“Perkara ini perlu diperhalusi dengan perbincangan antara kerajaan dan Majlis Raja-Raja bagi memastikan tiada salah faham antara institusi itu dan kementerian berkaitan hal ehwal agama,” katanya.

Sumber: BH Online

Last Updated on December 10, 2021

Kalendar JKSM

Events in January 2023

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
December 26, 2022 December 27, 2022 December 28, 2022 December 29, 2022 December 30, 2022 December 31, 2022 January 1, 2023
January 2, 2023 January 3, 2023 January 4, 2023(1 event) January 5, 2023 January 6, 2023 January 7, 2023 January 8, 2023
January 9, 2023 January 10, 2023(1 event) January 11, 2023 January 12, 2023 January 13, 2023 January 14, 2023 January 15, 2023
January 16, 2023 January 17, 2023(1 event) January 18, 2023(3 events) January 19, 2023(3 events) January 20, 2023 January 21, 2023 January 22, 2023
January 23, 2023 January 24, 2023 January 25, 2023 January 26, 2023 January 27, 2023 January 28, 2023 January 29, 2023
January 30, 2023(1 event) January 31, 2023(1 event) February 1, 2023 February 2, 2023(2 events) February 3, 2023 February 4, 2023 February 5, 2023