Scam poligami: Zulkifli mahu siasatan dalaman dilakukan

Kenyataan media oleh Zulkifli pada Sabtu.

SHAH ALAM – Satu siasatan dalaman akan dilakukan bagi menyiasat tentang kewujudan sindiket poligami dipercayai didalangi orang dalam di institusi kehakiman syariah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jika terdapat sebarang aduan penipuan melibatkan kakitangan mahkamah, maka tindakan tegas akan diambil berdasarkan peraturan-peraturan sedia ada penjawat awam.

“Pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Negeri-Negeri sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan warganya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan kewajipan yang diberikan.

“Sebagai sebuah agensi di bawah tanggungjawab saya, JKSM selaku agensi penyelaras Mahkamah Syariah di negara ini akan bekerjasama rapat dengan pihak Mahkamah Syariah Negeri-Negeri, Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengekang gejala tipuan poligami ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian berhubung sindiket tersebut yang dikesan menyediakan jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.

Kegiatan yang digelar ‘scam poligami’ membabitkan penipuan maklumat dalam dokumen permohonan poligami itu dikhuatiri boleh menjejaskan institusi kehakiman syariah di Malaysia jika dibiarkan terus berleluasa.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh Sinar Harian, pihak yang terlibat dalam scam poligami berkenaan licik menyalahgunakan kuasa dan prosedur permohonan sehingga mampu memperdaya pihak mahkamah.

Mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, Zulkifli berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada pihak JKSM, mereka tidak menolak kemungkinan berlakunya penipuan tersebut.

Jelas beliau, ia dilakukan sama ada oleh pemohon sendiri atau oleh ejen luar yang menawarkan khidmat pernikahan sindiket atau oleh Peguam Syarie atau oleh kakitangan mahkamah sendiri.

“Merujuk kepada isu penipuan dalam kes permohonan poligami, ianya boleh berlaku sama ada melalui penipuan atau pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah seperti tandatangan isteri sedia dalam akuan penerimaan dokumen mahkamah ataupun penipuan berkenaan alamat sebenar tempat tinggal pemohon.

“Penipuan ini, walau dilakukan oleh sesiapapun, adalah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pihak yang mempunyai sebarang maklumat untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sama ada kepada pihak PDRM, Bahagian Penguat Kuasa JAIN atau SPRM.

Sementara itu, Zulkifli menjelaskan, perkahwinan poligami adalah dibenarkan menurut hukum syarak dan undang-undang dan seseorang yang hendak berpoligami perlu mengemukakan satu permohonan kebenaran berpoligami kepada Mahkamah Syariah berdasarkan Seksyen 23 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-negeri.

Beliau bagaimanapun berkata, Undang-Undang Keluarga Islam menetapkan mana-mana pihak yang berpoligami tanpa mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah adalah melakukan kesalahan dan boleh didakwa di Mahkamah Syariah.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Undang-undang juga menetapkan bahawa mana-mana perkahwinan, sama ada perkahwinan pertama atau perkahwinan poligami, yang jika dilakukan tanpa mendapat kebenaran oleh pihak berkuasa hendaklah didaftarkan di JAIN.

“Sebelum pendaftaran perkahwinan tersebut dapat dilakukan, satu permohonan perlulah dikemukakan kepada Mahkamah Syariah bagi menentukan akad nikah yang dikatakan berlawanan dengan undang-undang tersebut adalah sah menurut hukum syarak ataupun tidak.

“Jika ianya sah, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan satu perintah untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut,” katanya.

Sindiket poligami dipercayai didalangi orang dalam di institusi kehakiman syariah negara dikesan menjadi jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.

Kegiatan yang digelar ‘scam poligami’ membabitkan penipuan maklumat dalam dokumen permohonan poligami itu dikhuatiri boleh menjejaskan institusi kehakiman syariah di Malaysia jika dibiarkan terus berleluasa.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh Sinar Harian, pihak yang terlibat dalam scam poligami berkenaan licik menyalahgunakan kuasa dan prosedur permohonan sehingga mampu memperdaya pihak mahkamah.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam program Sinar Live bertajuk ‘Pendedahan Scam Poligami’ di Shah Alam malam tadi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat termasuk memberi amaran dan mengingatkan hakim-hakim, peguam syarie dan kakitangan mahkamah tentang tanggungjawab mereka..

Beliau turut mengesahkan telah menerima aduan berkaitan scam poligami melibatkan tandatangan beberapa minggu lalu.

Sumber: Sinar Harian

Last Updated on December 11, 2021

Kalendar JKSM

Events in March 2024

Monday Tuesday Wednesday Thursday Friday Saturday Sunday
February 26, 2024(2 events) February 27, 2024(1 event) February 28, 2024 February 29, 2024 March 1, 2024 March 2, 2024 March 3, 2024
March 4, 2024 March 5, 2024 March 6, 2024 March 7, 2024 March 8, 2024 March 9, 2024 March 10, 2024
March 11, 2024 March 12, 2024 March 13, 2024 March 14, 2024(1 event) March 15, 2024(1 event) March 16, 2024 March 17, 2024
March 18, 2024(1 event) March 19, 2024 March 20, 2024(1 event) March 21, 2024 March 22, 2024(1 event) March 23, 2024 March 24, 2024
March 25, 2024(2 events) March 26, 2024(1 event) March 27, 2024(1 event) March 28, 2024 March 29, 2024 March 30, 2024 March 31, 2024