TAKLIMAT PELAKSANAAN PERINTAH KEHADIRAN WAJIB BAGI PESALAH SYARIAH DAN HUKUMAN SEBATAN ROTAN DI LUAR PENJARA BAGI PESALAH SYARIAH

17 Januari 2022 | Jabatan Penjara Malaysia hari ini telah mengadakan sesi taklimat Perintah Kehadiran Wajib (PKW) Bagi Pesalah Syariah dan Pelaksanaan Hukuman Sebatan Luar Penjara Bagi Pesalah Jenayah Syariah bertempat di Dewan Mahsuri, Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi, Kedah.

Sesi pertama taklimat yang bermula jam 9.00 pagi dimulakan dengan ucapan aluan Komisioner Penjara Malaysia, YBhg. KJP Dato’ Haji Nordin bin Haji Muhamad sebelum diteruskan dengan ucapan balas daripada YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM.

YAA Dato’ Setia Dr. dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kesudian pihak Jabatan Penjara Malaysia menjemput pegawai-pegawai kanan JKSM, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah negeri-negeri dan Ketua Pendakwa Syarie negeri-negeri dalam program hari ini.

Tambah beliau, kehadiran delegasi JKSM adalah sebagai tanda penghargaan kepada pihak Jabatan Penjara Malaysia khususnya di dalam usaha memuktamadkan 2 dokumen penting iaitu buku Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan Jenayah Syariah Di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah dan buku Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) bagi Pesalah Syariah sebagai panduan kepada mahkamah dan agensi berkaitan.

Tumpuan kini diteruskan bagi memastikan kedua-dua dokumen itu difahami dan dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh pihak Mahkamah Syariah dan agensi yang berkaitan dimana pihak JKSM dengan kerjasama Mahkamah Syariah di negeri-negeri telah merancang untuk mengadakan 7 siri majlis taklimat khusus kepada Hakim-Hakim Syarie, Ketua Pendaftar Mahkamah, Pendaftar, Pembantu Hakim, Pendakwa Syarie dan agensi penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri.

Untuk rekod, Jabatan Penjara Malaysia melalui Bahagian Parol & Perkhidmatan Komuniti (Seksyen Komuniti) juga telah merancang mengadakan siri-siri taklimat PKW secara khusus kepada pegawai-pegawai Parol di negeri dan daerah.

Turut hadir di dalam majlis pagi ini adalah Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Bahagian Parol & Perkhidmatan Komuniti, Ketua-Ketua Pendakwa Syarie Negeri-negeri, Ketua-Ketua Pendaftar, JKSN/MSN, Pengarah-Pengarah Bahagian Ibu Pejabat Penjara Malaysia dan Pengarah-Pengarah Penjara Negeri.

Last Updated on February 12, 2022

Kalendar JKSM

Events in March 2024

  • There are no events scheduled during these dates.