Fahami urusan poligami demi perkukuh institusi keluarga

Poligami perlu dilaksanakan mengikut hukum syarak dan memahami secara menyeluruh bagi mengelak perbalahan dalam institusi keluarga. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Golongan lelaki perlu memahami secara menyeluruh keinginan untuk berpoligami bagi mengelak perbalahan dan kegagalan membahagi hak sama rata sehingga menyebabkan kesengsaraan dalam institusi keluarga.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata urusan berpoligami perlu difahami sebaik mungkin, bukan sekadar tahu ingin beristeri lebih daripada satu.

Katanya, poligami ini perlu seiring dengan kefahaman berkaitannya yang bertujuan untuk berkeluarga dengan mengamalkan konsep mawaddah iaitu bahagia hingga ke Jannah, dan bukannya meninggalkan sengsara kepada mana-mana isteri.

“Justeru, persediaan sebelum berpoligami ini perlu ada, fahami situasi sedia ada bagi mengelakkan perbalahan dan tidak memberikan hak sama rata antara isteri-isteri mereka.

“Masyarakat juga sering salah faham untuk berpoligami, perlu mendapatkan keizinan isteri, tetapi sebenarnya tidak perlu, hanya diambilkira sebagai suatu fakta tambahan yang kuat oleh mahkamah.

“Ini kerana ada kes, mahkamah terpaksa menolak permohonan walaupun dengan izin isteri selepas mendapati pemohon tidak mempunyai kemampuan dari kewangan dan sebagainya,” katanya kepada BH Online.

Beliau berkata, statistik trend berpoligami menunjukkan permohonan kebenaran poligami dilihat mendatar.

Dr Mohd Naim Mokhtar. – Foto NSTP

Katanya, sepanjang 2015 hingga 2019, sebanyak 2,000 permohonan diterima untuk mendapatkan permohonan kebenaran berpoligami.

“Kita perlu melihat kepada undang-undang berkaitan poligami, iaitu bukan menyekat, tetapi lebih bersifat untuk mengawal bagi mengelakkan mudarat terhadap isteri dan anak-anak,” katanya.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata beliau banyak menerima kes berkaitan dengan isu poligami ini dan paling terkesan ialah membabitkan isu nafkah dan giliran.

Katanya, kebanyakan kliennya berdepan dengan isu ini dan kes terbaharu yang dikendalikan kes seorang lelaki mendapat kelulusan berpoligami, pada Julai 2020, bagaimanapun, tidak lama dia pula tiada pekerjaan.

“Sedangkan dia perlu menyara dua isteri dan empat anak dari isteri pertama yang hanya bergantung kepada duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu RM500.

“Ketika ini timbul tekanan dan apabila isteri pertama mempersoalkan perkara ini, dia dituduh nusyuz.

“Kes lain pula, bergantung kepada pilihan suami mana satu yang disukai sama ada isteri pertama atau yang baharu.

“Bahagia dalam poligami itu bergantung kepada suami. Isteri tidak boleh memonopoli,” katanya.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata berpoligami boleh dilaksanakan dengan tindakan dan cara yang betul.

Katanya, sudah tentu tidak salah kerana yang membenarkan poligami adalah syarak dan rukhsah (kelonggaran).

“Bagaimanapun, disebabkan cara dan tindakan salah hingga mengundang kesengsaraan isteri, akhirnya poligami itu memberikan tanggapan negatif berterusan kepada mereka yang ingin melaksanakannya.

“Banyak salah faham berlaku berkaitan dengan poligami. Jadi perkara yang boleh diketengahkan ialah dengan melihat keperluan kes, kemampuan bakal poligami lelaki dan maslahah bakal isteri kedua dan ketiga.

“Menyekat poligami itu tidak akan membawa ke mana-mana kerana pada akhirnya suami dan wanita itu juga tetap akan berkahwin sama ada di sempadan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, apa yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah memperketatkan prosedur poligami hanya bagi lelaki yang benar-benar layak dan tidak mengiktiraf perkahwinan lari di sempadan.

“Berbeza di Singapura perkahwinan kedua atau ketiga yang tidak berdaftar sama sekali tidak diiktiraf, tetapi di negara ini, perkahwinan di Siam boleh didaftarkan dengan hukuman iaitu denda yang murah,” katanya.

Katanya, hujah wanita boleh berkahwin menggunakan wali hakim jika berada dalam jarak melebihi dua marhalah daripada wali mujbirnya, dilihat sudah tidak relevan untuk kes kahwin lari di Siam menggunakan wali hakim.

“Dalam era serba moden ini, teknologi boleh memainkan peranan seperti cara bernikah secara dalam talian, apa rasionalnya pihak jabatan agama mengiktiraf perkahwinan lari di sempadan.

“Jika diberi alasan untuk elak berzina bagi mereka yang memegang status suami, ia sangat dangkal. Apakah otak mereka hanya fikirkan tentang zina saja?

“Justeru, hentikan guna alasan ‘takut berzina’ bagi membenarkan kahwin lari di sempadan.

Beri hak sama rata di antara isteri-isteri dapat mengelak perselisihan dalam rumah tangga. – Gambar hiasan

“Mereka mengamalkan poligami dengan cara berkahwin di sempadan ini sangat tidak ‘gentlemen’ dan pengecut,” katanya.

Beliau berkata, sembang perjuangan tetapi melakukan tipu daya menggunakan pelbagai dalil dan hujah agama dengan membawa ‘lari’ anak orang tanpa kebenaran wali.

“Sebab itu saya sangat menghormati mereka yang berpoligami secara jujur seperti selebriti, Saleh Yaakob,” katanya.

Namun, kebanyakan lelaki pada sekarang hanya tahu untuk menggambarkan poligami itu sebagai sunnah Nabi, sedangkan Nabi adalah insan terpilih dan perkahwinannya mengandungi hikmah tersendiri dan tidak boleh dibandingkan dengan diri mereka.

Malah di dalam al-Quran dan Sunnah tiada galakan khusus untuk melaksanakan poligami, sebaliknya yang dianjurkan adalah untuk berkahwin dan tidak membujang supaya mereka hidup berkeluarga.

FAKTA

Statistik status kes Permohonan Kebenaran Poligami di Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi tahun 2020 (Januari hingga November 2020)

• Kes didaftar – 1510 kes

• Kes selesai – 1063 kes (70.4 peratus)

• Kes masih dalam prosiding – 447 kes (29.6 peratus)

Statistik status kes Permohonan Pengesahan dan Daftar Nikah Poligami di Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi tahun 2020 (Januari hingga November 2020)

• Kes didaftar – 1543 kes

• Kes selesai – 827 kes (53.6 peratus)

• Kes masih dalam prosiding – 716 kes (46.4 peratus)

Sumber: Berita Harian

Last Updated on Disember 11, 2021

Kalendar JKSM

Events in Julai 2022

Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu Ahad
Jun 27, 2022(2 events) Jun 28, 2022(1 event) Jun 29, 2022 Jun 30, 2022 Julai 1, 2022(2 events) Julai 2, 2022 Julai 3, 2022
Julai 4, 2022(1 event) Julai 5, 2022 Julai 6, 2022 Julai 7, 2022 Julai 8, 2022 Julai 9, 2022 Julai 10, 2022
Julai 11, 2022 Julai 12, 2022 Julai 13, 2022 Julai 14, 2022 Julai 15, 2022(1 event) Julai 16, 2022 Julai 17, 2022
Julai 18, 2022(1 event) Julai 19, 2022 Julai 20, 2022 Julai 21, 2022 Julai 22, 2022 Julai 23, 2022 Julai 24, 2022
Julai 25, 2022 Julai 26, 2022 Julai 27, 2022(1 event) Julai 28, 2022(1 event) Julai 29, 2022(2 events) Julai 30, 2022 Julai 31, 2022