NAFKAH ISTERI DAN ANAK TERBELA DALAM SITUASI PANDEMIK COVID -19

Setiap bekas suami harus mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi bahawa pada masa Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bukanlah alasan untuk tidak menunaikan tangungjawab membayar nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah.


Kebanyakan wanita tidak ada tempat untuk mengadu dari segi penguatkuasaan, jadi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melihat keperluan penguatkuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah disabitkan oleh Mahkamah Syariah.


Sedar dengan tanggungjawab tersebut, pada 14 Januari 2021 yang lalu, Pihak Penghutang Penghakiman telah hadir ke Pejabat BSK Seksyen Negeri Sarawak untuk membayar tunggakan Nafkah Anak. Mahkamah Tinggi Syariah di Kuching telah mensabitkan tunggakan Nafkah Anak keseluruhan sebanyak RM47,000. Penghutang Penghakiman telah membayar RM5,000 melalui pengeluaran i-Sinar KWSP dan membayar RM1,000 di hadapan Pegawai BSK Sarawak pada 17 Februari 202. Manakala baki tunggakan akan di bayar sebagaimana yang telah di perintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah secara ansuran.


Seterusnya pada 16 Februari 2021, Mahkamah Rendah Syariah Taiping telah merekodkan penyelesaian Tunggakan Nafkah Iddah (RM900.00) dan Muta’ah (RM10,000.00) secara tunai melalui Notis Penghakiman yang telah difailkan pada 11 Oktober 2019 oleh Peguam/Pegawai BSK Seksyen Negeri Perak. Penyelesaian ini dilaksanakan secara ansuran pada 18 November 2020 sebanyak RM2,000.00, pada 26 Januari 2021 pula sebanyak RM8,000.00 dan baki RM900.00 pula telah dimasukkan ke dalam akaun bank Pemiutang Penghakiman pada 1 Feb 2021.


Sementara itu, pada 18 Feb 2021, hasil daripada sesi pertemuan pihak-pihak bersama dengan Pegawai BSK Seksyen Negeri Sembilan, Penghutang Penghakiman telah bersetuju untuk membuat pembayaran tunggakan muta’ah sebanyak RM5,000.00 dan nafkah anak sebanyak RM1,440.00. Kaedah pembayaran adalah melalui online tranfers kepada akaun Pemiutang Penghakiman oleh Penghutang Penghakiman. Justeru BSK JKSM mengharapkan agar kes tunggakan nafkah seperti ini dapat diselesaikan melalui saluran perundangan dengan kerjasama yang baik antara pihak-pihak.