Tuesday 11 August 2020
Text Size

 

MESYUARAT KHAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA KETUA HAKIM SYARIE JKSN/MSN BAGI PENGURUSAN KES SEMASA DAN SELEPAS PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

29 April 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pagi ini telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Bersama Ketua Hakim Syarie JKSN/MSN bagi membincangkan berkaitan pengurusan kes di mahkamah syariah seluruh Malaysia semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mesyuarat yang julung kali dijalankan secara atas talian menggunakan perisian Skype for business ini bertujuan memuktamadkan beberapa perkara berkaitan pengurusan kes untuk diangkat ke setiap negeri bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat sepanjang tempoh PKP.

Mesyuarat ini turut disertai oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua-Ketua Hakim JKSN/MSN, Pengarah Kanan JKSM dan Pengarah-Pengarah Bahagian JKSM.

Pihak MKN pada 24 April 2020 telah mengeluarkan kebenaran untuk perbicaraan kes Mahkamah Syariah diteruskan bagi kes-kes mendesak yang perlu didengar dan diberi perhatian segera.

Pihak MKN turut menekankan agar Ketua Pendaftar atau Pendaftar dengan kebenaran Ketua Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah hendaklah menimbangkan dengan sewajarnya dalam menentukan akan kesegeraan serta keperluan untuk sesebuah perbicaraan tersebut dijalankan termasuklah kes-kes yang melibatkan had masa di bawah peruntukan undang-undang.

Selain itu, mesyuarat hari ini juga membincangkan sumbang saran negeri-negeri dalam perkongsian maklumat dan idea bagi memantapkan Institusi Kehakiman Syariah pada masa hadapan.

PROGRAM DISKUSI PEMAHAMAN MANUAL RUNDING CARA PEGAWAI BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK) JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM) TAHUN 2020

BANGI - Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) JKSM telah mengadakan Diskusi Pemahaman Manual Runding Cara BSK pada 12 hingga 14 Februari 2020 bertempat di Institut Semarak FELDA (ISEF), Bangi, Selangor. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam yang melibatkan seramai 25 orang pegawai dan kakitangan BSK Seksyen Negeri seluruh Malaysia.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan pengetahuan, pendedahan dan kemahiran praktikal kepada peserta diskusi menerusi sesi simulasi runding cara kepada Pegawai BSK, membantu Mahkamah Syariah dalam melaksana penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah dan memperkemas setat memantapkan lagi perkhidmatan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Negeri-negeri. Menerusi program diskusi ini, pengisian ialah sesi ceramah, kajian kes runding cara BSK, role of Mediator dan role - play. Ceramah telah disampaikan oleh Prof. Dr. Nora binti Abdul Hak Pensyarah Universiti Islam Malaysia (UIAM) dan latihan role play di bimbing oleh Dr. Hanna binti Ambaras Khan Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai Fasilitator.

Majlis Penutupan disempurnakan oleh Tuan Shamsuddin bin Hussain, Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

PROGRAM NAZIRAN BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK), JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM) KE BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA SEKSYEN NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur – Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan program Naziran di BSK Seksyen Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 4 Mac 2020 (Rabu). Program tersebut telah disertai oleh 5 orang pegawai dari BSK Ibu Pejabat yang diketuai oleh Tuan Shamsuddin bin Hussain, Pengarah BSK JKSM. Pelaksanaan program ini merupakan perancangan tahun 2020 bagi JKSM dan kesinambungan program pada tahun yang lalu.

Objektif pelaksanaan program Naziran ini antaranya bertujuan untuk memantau, mengenalpasti kekuatan dan kelemahan serta mengukur tahap pencapaian dalam gerak kerja BSK Seksyen Negeri. Kaedah atau mekanisme yang digunakan adalah antaranya melalui pemeriksaan dan penilaian dokumen serta sesi temubual.

Diharapkan agar dapatan hasil penemuan Naziran ini dapat membantu BSK Seksyen Negeri dalam menilai kekuatan dan kelemahan mengikut penanda aras yang telah ditetapkan dan seterusnya meningkatkan berusaha untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan dengan lebih berkesan.