Friday 17 September 2021
Text Size

 

8th FAMILY LAW & CHILDREN'S RIGHTS CONFERENCE: WORLD CONGRESS 2021 THROUGH THE EYES OF A CHILD

12 Julai 2021 | YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM hari ini diberi penghormatan menjadi salah seorang ahli panel di dalam '8th Family Law & Children’s Rights Conference: World Congress 2021 Through the Eyes of a Child' yang dijalankan secara dalam talian sejurus selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan JKSM.

Konferen antarabangsa yang dijalankan selama 5 hari ini memfokuskan tentang undang-undang kekeluargaan, proses undang-undang yang dilaksanakan serta hak kanak-kanak yang telah diperuntukkan di dalam undang-undang.

Konferen ini juga merupakan platform bagi peguam, hakim, ahli akademik, ahli psikologi, ahli perubatan dan badan bukan kerajaan dari seluruh dunia bagi berkongsi pengalaman dalam isu melibatkan hak asasi kanak-kanak dan undang-undang kekeluargaan.

YAA Dato' Setia Dr. merupakan panel sesi keempat bersama 3 ahli panel yang lain iaitu Fitria Villa Sahara (Co-Director Pemberdayaan Perempuan Kepala Keluarga (PEKKA), Female-Headed Family Empowerment Organisation), Leisha Lister (Senior Adviser, Australia Indonesia Partnership for Justice) dan Justice Judy Ryan (Appeal Division, Family Court of Australia) di mana mereka membicarakan tajuk "Marriage Dispensation Cases in Indonesia and Malaysia – Determining the Best Interests of the Child".

Dalam forum tersebut, YAA Dato' Setia Dr. menggunakan kesempatan yang diberikan bagi menerangkan terlebih dahulu tentang sistem perundangan yang terdapat di Malaysia iaitu undang-undang sivil dan undang-undang syariah terutama perincian dari segi bidang kuasa undang-undang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

YAA Dato' Setia Dr. turut berkongsi tentang fungsi JKSM yang ditubuhkan oleh kerajaan bertujuan menyeragam dan menyelaras pentadbiran kehakiman syariah di Malaysia termasuk usaha dalam membina SOP Pernikahan Bawah Umur untuk diselaraskan dan gunapakai oleh mahkamah syariah di Malaysia.

Turut dikongsi adalah tatacara dalam pengendalian kes permohonan nikah bawah umur seperti penggunaan laporan perubatan dan laporan psikologi serta elemen-elemen yang dinilai oleh mahkamah dalam membenarkan permohonan penikahan bawah umur di Malaysia.

BENGKEL PENGUMPULAN PRINSIP UNDANG-UNDANG DALAM PENGHAKIMAN MAHKAMAH ATASAN SYARIAH UNTUK TUJUAN PENERBITAN

12 Julai 2021: Bahagian Pusat Sumber Maklumat dan Penerbitan (BPSMP), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini telah mengadakan Bengkel Pengumpulan Prinsip Undang-Undang Dalam Penghakiman Mahkamah Atasan Syariah Untuk Tujuan Penerbitan secara dalam talian bermula 12 Julai 2021 hingga 13 Julai 2021.

Bengkel yang bermula jam 9.00 pagi ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM.

Terlebih dahulu, YAA Dato’ Setia Dr. mengalu-alukan kehadiran YA Tuan Awang Armadajaya bin Awang Mahmud, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Muar 2, Johor selaku penceramah dalam bengkel ini dan beliau mengharapkan bengkel ini akan menjadi medan untuk lontaran idea dan sumbang saran supaya prinsip undang-undang dapat ditemui bagi menghasilkan satu lagi sumber rujukan perundangan yang bakal diterbitkan oleh JSKM.

YAA Dato’ Setia turut berkesempatan mengucapkan tahniah kepada BPSMP yang memulakan tindakan pengumpulan prinsip undang-undang dalam penghakiman ini. Penekanan juga turut dinyatakan oleh YAA Dato’ Setia Dr. dalam penulisan penghakiman, yang mana seseorang Hakim mestilah mengetahui pentingnya menitik beratkan nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan dengan berpegang kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam hukum Syarak.

Penganjuran bengkel ini adalah hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengumpulan Prinsip Undang-undang Mahkamah Atasan Syariah Untuk Tujuan Penerbitan yang telah diadakan pada pada 5 Mac 2021.

Bengkel dua hari secara dalam talian ini disertai dan dirintis oleh Pegawai Penyelidik kepada Ketua Hakim Syarie JKSN/MSN seluruh Malaysia dan dikendalikan oleh fasilitator yang dilantik iaitu Tuan Zulfikri bin Yasoa, Tuan Mohd Zakian bin Dio, Tuan Abu Sufian bin Abu Yaziz dan Tuan Mamat Haizan bin Salleh.

Di akhir ucapan YAA Dato’ Setia Dr. mengharapkan agar program ini mendapat sokongan dan dokongan semua pihak kerana ia adalah salah satu usaha murni dan sangat bermanfaat untuk mewujudkan bahan rujukan penting bagi menjamin kewibawaan keputusan kes di Mahkamah Syariah.

FUHA ANNUAL GENERAL ASSEMBLY 2020 ANJURAN UniSZA

9 Disember 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah dijemput menyampaikan Syarahan Akademik di dalam Program FUHA Annual General Assembly 2020 melalui aplikasi atas talian Cisco Webex.

Tajuk syarahan yang disampaikan oleh YAA Dato' Dr. adalah "Application of Mediation in the Syariah Courts of Malaysia" yang mana ianya menyentuh secara mendalam perjalanan majlis Sulh di mahkamah syariah seluruh Malaysia.

Program anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah dihadiri oleh para pelajar UniSZA dan turut disiarkan secara langsung di Laman Facebook Rasmi UNiSZA.

Antara kandungan yang dikongsikan oleh YAA Dato' Dr. adalah sejarah penubuhan Majlis Sulh di Malaysia, jenis kes yang dibawa ke Majlis Sulh, statistik kes Sulh di Malaysia dan kepentingan proses sulh serta mediator kepada pihak-pihak yang bertikai.

YAA Dato' Dr. turut berkongsi tentang faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan dan kegagalan yang di bawa ke Majlis Sulh dan berbesar hati berkongsi Pelan Strategik Sulh (2021-2026).

Di akhir pembentangan YAA Dato' Dr turut melahirkan rasa bangga akan peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh Pegawai-Pegawai Sulh seluruh Malaysia dalam usaha menyelesaikan isu tunggakan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara.

Turut hadir di dalam program ini adalah Prof.Dr. Zuhairah Ariff binti Abd.Ghadas (Dean of FUHA), Dr. Sharifah Nuridah Aishah binti Syed Nong Mohamad (Deputy Dean for Academic and Graduates), Dr. Suyatno (Deputy Dean for Students Affair & Alumni) dan Dr. Aminuddin bin Mustaffa (Deputy Dean for Research and Development).

IIUM POSTGRADUATE WEBINAR: "APPLICATION OF MEDIATION IN SYARIAH COURTS OF MALAYSIA"


1 September 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini berkesempatan berkongsi ilmu dan pengalaman di dalam sesi webinar anjuran Pusat Pengajian Pascasiswazah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi yang bermula jam 3 petang ini dimoderatorkan oleh Bro. Anwar Mohammad Noor (PGSS Member IIUM) bagi membicarakan tajuk "Application of Mediation in Syariah Courts of Malaysia".

Webinar yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom Meetings telah dihadiri oleh seramai 74 orang dan turut disiarkan secara langsung di laman facebook IIUM Postgraduate Students Society- PGSS.

Antara maklumat yang dikongsikan oleh YAA Dato' Dr. adalah berkaitan sejarah penubuhan dan fungsi yang dimainkan oleh Majlis Sulh dalam usaha menyelesaikan isu lambakan kes di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

YAA Dato' Dr. turut menjelaskan tentang kelebihan Majlis Sulh yang merupakan satu medium bagi mencari jalan penyelesaian yang pantas tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh yang pastinya menjimatkan masa dan kos semua pihak termasuklah pihak-pihak yang bertikai dan mahkamah sendiri.

Selain itu, YAA Dato' Dr. turut berkongsi tentang kes-kes yang dibawa ke Majlis Sulh, faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan Majlis Sulh serta halangan yang terpaksa dihadapi para pegawai sulh dalam menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
1 September 2020