Monday 21 September 2020
Text Size

 

MESYUARAT MENGENAI ISU KOS BAYARAN SARA HIDUP BAGI PENGKOMITAN KES MAHKAMAH SYARIAH DI JABATAN PENJARA MALAYSIA

Putrajaya, 18 Ogos 2020 – Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), JKSM telah mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia. Tujuan diadakan mesyuarat ini adalah untuk mendapatkan pandangan dan perbincangan berkaitan isu kos bayaran sara hidup bagi Pengkomitan kes Mahkamah Syariah di Jabatan Penjara Malaysia.


    Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM yang turut dihadiri oleh wakil KDN iaitu YBhg. Datuk Musa bin Sulaiman, Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah & RELA, Encik Mohd Haniff bin Che Omar, Penolong Setiausaha, Bahagian Kepenjaraan, Antidadah & RELA, Puan Shahidah Nafisah binti Suleiman, Peguam Kanan Persekutuan, KDN, dan wakil Jabatan Penjara Malaysia iaitu TKP. S Gunasegaran A/L Shanmugan @ Channasih, Tim. Pengarah Dasar Kepenjaraan, TPP. Zakaria bin Razali, Tim. Penguasa Penjara, Puan Shasitah binti Mohamed Hanifa, Penasihat Undang-undang Jabatan Penjara Malaysia, Encik Suhaizal Ab. Wahab, Unit Perundangan IPPM, BSK Sekyen Negeri dan wakil Bahagian-bahagian di JKSM. Mesyuarat ini telah mencapai satu keputusan dengan bersetuju pihak KDN akan meneliti semula dan memperhalusi isu kos dan sara hidup di penjara bagi kes-kes keingkaran perintah Mahkamah Syariah serta cadangan JKSM.


    Diharapkan semoga kerjasama yang erat di antara KDN, Jabatan Penjara Malaysia dan BSK JKSM dapat diteruskan lagi pada masa hadapan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dapat diberikan kepada para pelanggan BSK secara lebih efisien.

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA (BSK), JKSM BIL. 1/2020

Putrajaya, 12 Ogos 2020 – Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja BSK Bil. 1/2020 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Aras 5, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.


Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Nassir bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM bagi mewakili YAA Dato’ Dr. Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan dihadiri oleh Ahli-ahli Jawatankuasa yang telah dilantik di kalangan Ahli Akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam (USIM) serta Universiti Teknologi Mara (UITM). Mesyuarat kali ini, turut dihadiri oleh wakil dari Jabatan Peguam Negara dan Pegawai-pegawai kanan JKSM. Satu pembentangan kertas kerja telah dibentangkan oleh Tuan Mamat Haizan bin Salleh, Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan (BDP) JKSM yang bertajuk Kajian Berkaitan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja BSK JKSM Bil.1/2019.


Adalah diharapkan agar semua isu dan cadangan yang dibincangkan bersama dapat membantu memperkemaskan lagi gerak kerja dan hala tuju BSK dalam melaksanakan fungsi dan peranan dalam penguatkuasaan perintah nafkah di Mahkamah Syariah.

MESYUARAT KHAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA KETUA HAKIM SYARIE JKSN/MSN BAGI PENGURUSAN KES SEMASA DAN SELEPAS PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

29 April 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pagi ini telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Bersama Ketua Hakim Syarie JKSN/MSN bagi membincangkan berkaitan pengurusan kes di mahkamah syariah seluruh Malaysia semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mesyuarat yang julung kali dijalankan secara atas talian menggunakan perisian Skype for business ini bertujuan memuktamadkan beberapa perkara berkaitan pengurusan kes untuk diangkat ke setiap negeri bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat sepanjang tempoh PKP.

Mesyuarat ini turut disertai oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua-Ketua Hakim JKSN/MSN, Pengarah Kanan JKSM dan Pengarah-Pengarah Bahagian JKSM.

Pihak MKN pada 24 April 2020 telah mengeluarkan kebenaran untuk perbicaraan kes Mahkamah Syariah diteruskan bagi kes-kes mendesak yang perlu didengar dan diberi perhatian segera.

Pihak MKN turut menekankan agar Ketua Pendaftar atau Pendaftar dengan kebenaran Ketua Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah hendaklah menimbangkan dengan sewajarnya dalam menentukan akan kesegeraan serta keperluan untuk sesebuah perbicaraan tersebut dijalankan termasuklah kes-kes yang melibatkan had masa di bawah peruntukan undang-undang.

Selain itu, mesyuarat hari ini juga membincangkan sumbang saran negeri-negeri dalam perkongsian maklumat dan idea bagi memantapkan Institusi Kehakiman Syariah pada masa hadapan.