PERSIDANGAN KETUA-KETUA HAKIM SYARIE SELURUH MALAYSIA KALI KE-76 BILANGAN 1 TAHUN 2021

06 April 2021: Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod JKSM telah mengurusetiakan Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia Kali Ke-76 Bil. 1/2021 yang dipengerusikan oleh YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM secara atas talian menggunakan aplikasi Cisco Webex.

Persidangan yang diadakan selama sehari ini menghimpunkan Ketua-Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Mahkamah Syariah Negeri di seluruh negara bertujuan membincangkan dan menyelesaikan pelbagai isu dalam usaha menyeragamkan sistem perundangan dan kehakiman syariah.

Terlebih dahulu, YAA Dato' Setia Dr. merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli persidangan atas kehadiran dan mengalu-alukan kehadiran Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, YAA Dato' Haji Abu Bakar bin Abdullah Kutty buat kali pertama dalam persidangan ini.

Selanjutnya YAA Dato' Dr. telah memperincikan perancangan bagi setiap bahagian dan unit di JKSM termasuklah program-program berimpak tinggi dalam usaha melaksanakan fungsi dan peranan JKSM dalam menyeragam pentadbiran kehakiman syariah di Malaysia.

Sebanyak lima kertas cadangan telah dibentangkan dalam persidangan kali ini iaitu:

i. Kertas Cadangan Model Baharu JKSN Dan Pelan Tindakan Bersama Bagi Penambahbaikan Model Organisasi Dan Struktur Jawatan JKSN/ MSN
ii. Kertas Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) Bagi Pesalah Syariah
iii. Kertas Makluman Berkaitan Dengan Proses Pelupusan Rekod Elektronik (E-Syariah)
iv. Kertas Cadangan Penambahbaikan Fungsian dan Rombakan Keanggotaan Jawatankuasa Pemikir (Think Tank) Sulh
v. Taklimat Berkenaan Dengan Wang Jaminan (E-Jamin)

Alhamdulillah, persidangan kali ini mencapai objektifnya dengan penglibatan aktif daripada Ketua-ketua Hakim JKSN/MSN dan diharapkan agar setiap perancangan akan dapat direalisasikan dengan komitmen penuh semua pihak.

Turut hadir di dalam persidangan ini adalah Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Kanan Pengurusan JKSM dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Ketua Unit JKSM.