KUNJUNG HORMAT KE ATAS PEGUAM BESAR NEGERI SABAH

28 April 2021 | YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pagi ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Nor Asiah Binti Mohd Yusof, Peguam Besar Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah.

Kesempatan ini di ambil oleh YAA Dato’ Setia Dr. setelah beliau selesai mempengerusikan Sidang Rayuan Syariah di Negeri Sabah yang telah dijadualkan selama dua hari bermula 26 hingga 27 April 2021.

YAA Dato’ Setia Dr. diiringi oleh YA Datuk Jasri@Nasip bin Mat Jakir (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM), YAA Tuan Alidin @ Ahmad Din Bin Okk Othman (Ketua Hakim Syarie, JKSN Sabah) dan YBrs. Puan Surayah Binti Ramlee (Ketua Pendaftar, JKSN Sabah) dan ketibaan mereka telah disambut oleh YBhg. Datuk dan pegawai-pegawai kanan beliau iaitu Dgku Fazidah Hatun (Timbalan Peguam Besar Negeri), Suzumaidah Hj Hussain (Ketua Bahagian Nasihat Guaman), Waravia Badri (Ketua Bahagian Gubalan), Mohd Saifurrazee Bin Mohamed (Ketua Bahagian Nasihat Guaman) dan Siti Hafsah Bt Adenan (Ketua Unit Syariah).

Kunjungan hormat ini adalah bertujuan bagi mengeratkan tali silaturrahim dan jalinan muhibbah antara JKSM, JKSN Sabah dan Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah sebagaimana ditekankan oleh YB Menteri di Jabatan Pendana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengkehendaki institusi agama di bawah portfolio YB Menteri hendaklah sentiasa mengadakan kerjasama Persekutuan melalui hubungan yang harmoni selain menyelesaikan segala isu berbangkit secara bersama atas dasar hormat-menghormati antara kuasa persekutuan dan kuasa negeri.

Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan Perjanjian Skim Gunasama yang telah ditandatangani pada antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sabah pada 19 Jun 2008, selain berkaitan pengisian jawatan dan penempatan pegawai di JKSN Sabah di mana hingga kini, bilangan perjawatan dari kumpulan sokongan hingga kumpulan pengurusan dan professional adalah berjumlah 213 jawatan dan jumlah pengisian jawatan adalah sebanyak 173 pengisian.

Selain itu, turut dibincangkan adalah berkaitan pengendalian kes rayuan Syariah oleh Panel Rayuan Syariah JKSM selain status projek pembinaan mahkamah Syariah di negeri Sabah iaitu pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah yang hampir 99% siap serta pembinaan Mahkamah Syariah Daerah di Tawau, Sandakan dan Papar.

Semoga segala hasil perbincangan dalam pertemuan hari ini akan membuahkan hasil yang positif dalam usaha JKSM mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah termasuk dari segi pembangunan dan perkembangan institusi kehakiman Syariah yang akhirnya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan hak-hak mereka menurut undang-undang yang dikanunkan di negeri-negeri termasuk juga Negeri Sabah.