KURSUS UNDANG-UNDANG KETERANGAN: KETERANGAN LISAN (PEMAHAMAN)

24 Jun 2021: Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah menganjurkan Kursus Undang-Undang Keterangan: Keterangan Lisan (Pemahaman) yang disertai oleh seramai 89 orang Pegawai-pegawai Pendakwa dan Penolong Pegawai Pendakwa Syarie dari seluruh Malaysia. Kursus ini telah diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex bermula pada 22 hingga 24 Jun 2021.

Objektif penganjuran kursus kali ini adalah untuk meningkatkan pemahaman pendakwa-pendakwa Syarie kepada semua peruntukan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah dalam pengunaan prinsip undang-undang berkaitan keterangan lisan bagi proses penentuan keberkaitan, penerimaan, penandaan dan menyokong fakta kes.

Kursus ini dikendalikan oleh penceramah jemputan, iaitu Prof Madya Dr Ramalinggam A/L Rajamanickam, Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kaedah penyampaian oleh penceramah jemputan kali ini dilihat dapat menarik minat para peserta. Penglibatan para peserta kursus kali ini amat memberangsangkan apabila wujud interaksi dan komunikasi dua 2 hala dengan pelbagai isu dan persoalan yang diperbincangkan bersama dalam usaha mempertingkatkan pemahaman dalam Undang-undang keterangan.

Adalah diharapkan agar para peserta mendapat manfaat dan pencambahan ilmu sepanjang kursus ini berlangsung yang dapat memberikan nilai tambah kepada para peserta dalam menjalankan amanah dan tugasan mereka sebagai Pendakwa Syarie di seluruh Malaysia. Semoga penganjuran kursus seumpama ini juga mampu menyumbang kepada usaha memperkasakan dan memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia.