TAKLIMAT KESEDARAN KESELAMATAN ICT JKSM SIRI 1/2021

13 Julai 2021: Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini telah menganjurkan Taklimat Kesedaran Keselamatan ICT JKSM Siri 1/2021 melalui aplikasi Cisco Webex yang di sampaikan oleh Encik Mohamad Noor Syawal Khir bin Adzmi, Pegawai Operasi Kanan CMCF.

Objektif program adalah memberi pendedahan dan kesedaran kepada warga JKSM khususnya mengenai keselamatan ICT dengan tajuk "Kawalan Kendiri dan Cara Kekal Selamat di Internet"

Terlebih dahulu, program dimulakan dengan ucapan aluan oleh YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM di mana beliau mengalu-alukan kehadiran penceramah yang dijemput khas dari "Communication dan Multimedia Content Forum (CMCF)".

Di dalam ucapan aluan beliau, YAA Dato' Setia Dr. menekankan bahawa program taklimat seumpama ini adalah sangat penting dalam memberi kesedaran dan perkongsian ilmu baharu serta tips mengenai keselamatan ICT.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan ICT bukan sahaja digalas oleh Pegawai ICT di sesebuah jabatan semata-mata malah ianya adalah tanggungjawab seluruh warga kerja jabatan.

YAA Dato' Setia Dr. turut menyelitkan nasihat kepada para peserta untuk sentiasa menjaga akal, harta dan amanah serta menitikberatkan kepentingan menimba ilmu pengetahuan selari dengan pelaksanaan Maqasid Syariah dalam urusan kerja dan kehidupan seharian agar tidak mudah terpedaya dan terjerumus dalam kes penipuan atau jenayah siber.

Sebelum mengakhiri program, ucapan penutup telah disampaikan oleh Tuan Hj Nassir bin Abdul Aziz, Ketua Pendaftar JKSM yang juga merupakan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) JKSM di mana beliau turut mengharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan dengan pemilihan topik yang lebih menarik.

Program yang berlangsung selama 3 jam ini telah dihadiri seramai 256 pegawai dan kakitangan dari JKSM/JKSN/MSN seluruh Malaysia.