PROGRAM MULTAQA PAKAR TURATH SIRI 3/2021

15 Julai 2021 | Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menganjurkan Multaqa Pakar Turath Siri 2 yang disertai oleh seramai 24 orang terdiri daripada Pegawai Syariah terpilih dari JKSN/MSN dan pelbagai agensi pusat dan negeri dari seluruh Malaysia.

Multaqa ini telah diadakan secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex bermula pada 8 dan 15 Julai 2021. Sebelum ini juga multaqa siri 2 juga diadakan secara atas talian pada 22-24 Jun 2021.

Objektif penganjuran multaqa seumpama ini diadakan adalah bertujuan bagi meningkatkan pemahaman para peserta berkaitan nas-nas berkenaan ilmu fekah mazhab Imam al-Syafie dan para fuqaha mazhab dalam menentukan sesuatu hukum berdasarkan isu-isu yang berlaku.

Di samping itu juga, ia bertujuan melahirkan pelapis dan tenaga-tenaga pakar sebagai rujukan isu al-Ahwal al-Syakhsiyah menerusi disiplin ilmu kitab-kitab turath dalam kalangan pegawai syariah.

Multaqa ini dilaksanakan berteraskan modul profesional khusus pakar turath yang digubal oleh Jawatankuasa Pembinaan Modul Pakar Turath JKSM-YIK. Multaqa ini dikendalikan oleh para penceramah dari Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan.

Penglibatan para peserta multaqa amat memberangsangkan apabila wujud interaksi dan komunikasi dua 2 hala dengan pelbagai isu dan persoalan yang diperbincangkan bersama dalam usaha mempertingkatkan pemahaman para peserta berhubung isu-isu dalam teks turath fekah agar selari dengan Undang-undang Keluarga Islam dalam konteks Malaysia.

Adalah diharapkan agar para peserta mendapat manfaat dan pencambahan ilmu sepanjang multaqa ini berlangsung dalam menjalankan amanah dan tugasan. Semoga penganjuran multaqa paka turath pada 2021-2025 ini mampu menyumbang kepada usaha memperkasakan dan memartabatkan institusi kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia.

Bahagian Latihan JKSM mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, Pengarah YIK, Ahli-ahli Lembaga YIK, YAA Ketua Hakim Syarie JKSN/MSN dan Ketua-ketua agensi Pusat dan Negeri seperti Jabatan Peguam Negara, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri, Jabatan Pendakwaan Syarie Wilayah Persekutuan dan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) atas sokongan dan dokongan kepada peserta-peserta pegawai syariah yang terpilih bagi menjayakan penganjuran multaqa ini hingga ke akhir tahun 2025 in Shaa Allah.