MESYUARAT PERMULAAN PROJEK (KICK-OFF) PROJEK TRANSFORMASI e-SYARIAH

9 Ogos 2021 | Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) JKSM pagi ini telah menganjurkan Mesyuarat Permulaan Projek (Kick-Off) bagi Projek Transformasi e-Syariah Versi 3 (eSV3) secara dalam talian menggunakan aplikasi Webex Meetings.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 9 pagi ini dipengerusikan oleh YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM yang mengalu-alukan kehadiran ahli mesyuarat terutama kepada wakil syarikat SAINS Sarawak yang dilantik bagi membina projek transformasi eSV3 tersebut.

Dalan ucapan aluannya, YAA Dato' Setia Dr. mengharapkan agar Projek Transformasi e-Syariah Versi 3 ini yang bermula pada 19 Julai 2021 dapat disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan bagi melancarkan sistem pengurusan kes di mahkamah-mahkamah syariah seluruh Malaysia.

Untuk makluman, objektif projek transformasi ini adalah bagi menambah baik fungsi-fungsi sedia ada mengikut spesifikasi sistem, mengendalikan transformasi dan inovasi proses kerja mahkamah kepada sistem digital serta memastikan operasi di mahkamah syariah berjalan dengan lancar dan cekap.

Projek ini merangkumi pembinaan 17 modul termasuk fungsi Sistem Pengurusan Kes Mahkamah Syariah (SPKMS), Fungsi Pendaftaran Peguam Syarie (SPPS), Fungsi Nafkah, Pelaporan Statistik, Fungis KPI dan Aplikasi Mobile yang dijangka siap pada bulan Januari 2023.

Turut hadir dalam mesyuarat hari ini adalah Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua Hakim Syarie Negeri Melaka, Ketua Hakim Syarie Selangor, Ketua Pendaftar JKSM, Pengarah Kanan Pengurusan JKSM, Pegawai Kanan JKSM, Wakil SAINS Sarawak dan Wakil MSWP.