KURSUS TEKNIK PENULISAN BAHASA MELAYU (PENULISAN PERUNDANGAN)

18 – 19 Ogos 2021 I Bahagian Latihan (BL) telah menganjurkan Kursus Teknik Penulisan Bahasa Melayu (Penulisan Perundangan) secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Kursus yang disasarkan kepada Hakim Syarie dan Pegawai Penyelidik di Mahkamah Syariah ini telah disertai oleh 78 orang peserta. Turut serta dalam kursus ini ialah YAA Datuk Nadzri Bin Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Kursus yang berlangsung selama dua hari ini telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam Rajamanickam, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Felo Bersekutu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Munsyi Dewan (Bahasa), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Objektif kursus ini untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada peserta mengenai tatabahasa, cara penulisan yang betul dan penggunaan istilah yang sering diguna pakai dalam penulisan perundangan. Selain itu, kursus ini diharap dapat menggalakkan minat dalam kalangan peserta untuk menghasilkan penulisan perundangan dan mengikut format yang betul.

Sepanjang kursus berjalan, para peserta dan penceramah telah dapat mewujudkan komunikasi dua hala dengan membincangkan isu berkaitan tatabahasa, istilah-istilah penting dan kesalahan yang sering dilakukan semasa membuat penulisan.

Diharapkan segala perbincangan dan perkongsian yang diperolehi di dalam kursus ini dapat memberi manfaat dan praktiskan oleh semua peserta yang telah menghadirinya. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Bahasa Jiwa Bangsa.