KUNJUNG HORMAT KE ATAS YDP MAJLIS UGAMA ISLAM NEGERI SABAH

2 September 2021 | YAA Dato Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Sabah MUIS, YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin bertempat di Wisma MUIS Kota Kinabalu, Sabah.

Pertemuan tersebut merupakan pertemuan pertama kedua-dua pihak setelah YBhg. Datuk Seri Panglima dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Sabah mulai Julai 2021.

YAA Dato' Setia Dr. menggunakan kesempatan dalam pertemuan ini bagi menerangkan fungsi dan objektif penubuhan JKSM sebagai agensi penyelaras pentadbiran kehakiman syariah di peringkat persekutuan selain berkongsi tentang sejarah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah berkaitan pengurusan JKSN Sabah.

Berdasarkan MoU tersebut, kerajaan persekutuan bertanggungjawab ke atas semua perkara melibatkan pengurusan JKSN Sabah termasuklah dari aspek perjawatan, kewangan dan pembangunan mahkamah.

YAA Dato' Setia Dr. turut menerangkan tentang perkembangan terkini projek pembangunan fizikal di Sabah di mana JKSM dengan kerjasama JKR Malaysia dan JKR Sabah sebagai SO (Pegawai Penguasa Projek) sedang membangunkan Kompleks Mahkamah Syariah Sabah yang bertempat di Teluk Likas yang telah siap sepenuhnya pada 22 Julai 2021 dan dijangka akan mula beroperasi pada akhir tahun ini.

Selain itu, terdapat dua projek pembinaan mahkamah daerah di Sabah yang sedang dalam perancangan pembinaan iaitu Mahkamah Syariah Daerah Papar serta Mahkamah Syariah Daerah Tawau dan JKSM telah memohon peruntukkan pembangunan untuk dua mahkamah syariah dalam RMK-12 iaitu di Sandakan dan Kudat.

Dalam pada itu, Pihak MUIS sentiasa bersikap terbuka untuk meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya kepada setiap perkara yg dicadangkan oleh pihak JKSM dari semasa ke semasa dalam usaha memantapkan Sistem Pentadbiran Kehakiman dan Perundangan Syariah di Sabah.

Turut serta ialah YAA Tuan Ahmad Din bin OKK Othman (Hakim Syarie JKSN Sabah), YBrs. Ust Malai Ali bin Malai Ahmad (Yang DiPertua MUIS), Encik Ramlan bin Awang Ali (Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MUIS) dan Puan Surayah binti Ramlee, (Ketua Pendaftar JKSN Sabah)