KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

06 September 2021: Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Hj. Idris bin Hj. Ahmad bertempat di Pejabat Menteri, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya.

YAA Dato' Setia Dr. yang diiringi oleh Ketua Pendaftar JKSM, Tuan Haji Nassir bin Abdul Aziz terlebih dahulu menyampaikan taklimat kepada YB Menteri berkaitan fungsi dan peranan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang merupakan salah satu agensi di bawah YB Menteri selain membentangkan perancangan JKSM bagi pencapaian 100 hari pelantikan YB Senator sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Antara yang dikongsi adalah objektif utama penubuhan JKSM yang berperanan mengendalikan kes-kes rayuan syariah seluruh Malaysia serta menyeragam pentadbiran kehakiman syariah bagi mempertingkat prestasi mahkamah di negeri-negeri dan YAA Dato' Setia Dr. turut menerangkan tentang usaha-usaha yang dijalankan bagi memperkasa JKSM antaranya penstrukturan semula organisasi, menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi dalam dan luar negara serta cadangan penubuhan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM).

Selain itu, usaha turut dijalankan bagi menyeragam pengurusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah seluruh Malaysia antaranya melalui penggunaan Sistem E-Syariah, pemakaian Arahan Amalan Mahkamah Syariah, penggubalan model Kaedah-Kaedah yang seragam dan SOP, penganjuran Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie dan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

Bagi perancangan 100 hari YBM pula, pelbagai program dan gerak kerja telah disusun antaranya penyelesaian sekurang-kurangnya 60 kes rayuan dalam tempoh 100 hari, pelantikan Pengerusi dan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS), penggubalan RUU Akta Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022, cadangan pindaan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 bagi membolehkan perbicaraan melalui teknologi komunikasi jarak jauh (online) dan Penganjuran Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Antarabangsa (PKA 2021) melibatkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Australia, Palestin, Yaman, Qatar, Maldives dan Papua New Guinea.

Di akhir pertemuan, YAA Dato' Setia Dr. turut menzahirkan harapan dan sokongan daripada YB Menteri khususnya bagi menggalakkan kerjasama positif antara JKSM dan JKSN/MSN Negeri serta mempromosi skim perkhidmatan gunasama persekutuan kepada negeri-negeri serta mempertahankan integriti dan kebebasan mahkamah Syariah dalam menjalankan bidangkuasa yang diberikan undang-undang kepadanya dalam mengangkat keadilan hukum Syarak.