MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MoU) BERSAMA MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN (MAIK)

26 November 2021 | Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui Bahagian Dasar & Penyelidikan hari ini telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam penerbitan secara bersama buku Transliterasi Furu’ Al-Masa’il (Bab Talaq).

Antara pegawai tertinggi JKSM yang mengiringi YAA Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar di dalam Majlis Menandatangani MoU tersebut adalah YBrs. Tuan Haji Nassir bin Haji Abd Aziz (Ketua Pendaftar JKSM), Puan Azlina bt Aziz (Pengarah Kanan Pengurusan JKSM) dan Tuan Mamat Haizan bin Salleh (Pengarah BDP JKSM) manakala bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah diwakili oleh YABrs. Tuan Zulkifle bin Ab Rahman (Timbalan Yang Dipertua MAIK), YB. S.S Dato’ Mohamad Shukri bin Mohamad (Mufti Kerajaan Negeri Kelantan) dan Tuan Hashri bin Junoh (Pegawai Penerbitan MAIK).

Di awal majlis, YAA Dato’ Setia Dr. menzahirkan penghargaan kepada MAIK kerana atas kesudian menjalinkan kerjasama bagi menerbitkan khazanah melayu yang amat berharga dan menjadi rujukan yang begitu terkenal di kalangan ulama dan penuntut ilmu, khususnya dalam bidang fiqh mazhab Syafi’i di Nusantara serta menjadi kitab rujukan dan teks pembelajaran di masjid-masjid dan pondok-pondok.

Sebagaimana maklum Kitab Furu’ al-Masail atau judul penuhnya Furu’ al-Masail wa Ushul al-Wasail merupakan sebuah karya seorang tokoh ulama terkenal dari ‘Alam Melayu‘Allamah al-Syaikh Dawud bin ‘Abdullah al-Fathani (1265H).

Terdapat dua buah karya yang menjadi sumber terjemahan karya beliau, iaitu Fatawa Syams al-Millah wa al-Din oleh Syaikh Muhammad al-Ramli (957H) dan Kasyf al-Litham ‘an As-ilah al-Anam oleh Syaikh Hussain bin Muhammad al-Mahalli (1170H), iaitu dua buah karya besar dalam mazhab al-Syafi’i.

Dengan terbitnya Transliterasi Kitab Furu’ Masa’il (Bab Talaq) diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya kepada pegawai Syariah dalam membuat rujukan isu-isu berkaitan talaq yang sering dikendalikan di Mahkamah Syariah.

Di akhir ucapan, YAA Dato' Setia Dr. menzahirkan harapan agar jaringan kerjasama ini akan berterusan antara kedua-dua pihak dalam menghasilkan bahan ilmiah yang bermutu tinggi seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat di luar sana.