PERASMIAN MESYUARAT PENYEDIAAN PENYELARASAN DAN PENGUKUHAN KAEDAH/SULH BIL. 2 TAHUN 2019

Majlis Perasmian Mesyuarat Penyediaan Penyelarasan dan Pengukuhan Kaedah/Sulh Bil. 2 Tahun 2019 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod, Aras 2, JKSM oleh YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM.

Mesyuarat yang diadakan pada 22 hingga 23 April 2019 ini dihadiri oleh semua pegawai-pegawai sulh di seluruh Malaysia.

Dalam ucapan perasmian beliau, YAA Dato' telah menyatakan bahawa konsep musyawarah seumpama ini adalah satu platform yang sesuai bagi merungkai masalah dan mencari jalan yang terbaik dalam menyelesaikan aduan dan pertikaian pelanggan.

YAA Dato' menekankan bahawa semua pegawai sulh memegang tanggungjawab yang besar dan perlu dipikul dengan penuh rasa amanah serta ikhlas dalam tugasan masing-masing.

Ini kerana semua pelanggan yang hadir memerlukan bantuan dan nasihat daripada pegawai-pegawai sulh bagi membantu menyelesaikan konflik dan dilema yang mereka hadapi. Untuk itu, semua pegawai perlulah melayani mereka dengan penuh hikmah dan berhemah bagi mengurangkan keperitan sedia ada yang dihadapi para pelanggan.

Justeru, dalam memastikan penyampaian yang terbaik dapat diberikan, setiap pegawai perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan sentiasa ada rasa ingin belajar agar nasihat yang disampaikan memberikan impak yang positif dan dapat diaplikasikan secara optimum oleh para pelanggan.

YAA Dato' juga menegaskan sekali lagi hasrat YB Menteri di JPM agar institusi kehakiman menjadi agensi yang cemerlang dan unggul pada tahun 2025.

Dalam merealisasikan visi YB Menteri tersebut, YAA Dato' menyeru semua pegawai untuk bersama-sama beliau berusaha bersungguh-sungguh dalam tempoh enam (6) tahun ini bagi memastikan ianya tercapai.

Salah satu usaha yang dapat dilakukan adalah dengan memberi fokus kepada Kluster Perundangan dan Kehakiman iaitu Memperkasakan Perundangan dan Kehakiman Syariah melalui reformasi berterusan pentadbiran kehakiman, penggubalan undang-undang dan peningkatan profesionalisme hakim-hakim syarie.

Kluster pertama ini adalah salah satu daripada tujuh (7) kluster teras strategik YB Menteri bagi menentukan hala tuju pentadbiran agama di Malaysia.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
22 APRIL 2019

Lihat Gambar