KUNJUNGAN HORMAT YAA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengadakan satu kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Pertemuan yang diadakan dalam suasana cukup mesra tersebut telah memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi idea, pengalaman dan pandangan berkaitan isu-isu pentadbiran kedua-dua agensi.

YAA Dato’ Dr. telah menyampaikan hasrat untuk memastikan isu integriti dan anti rasuah diberi penekanan yang sangat serius semasa pentadbiran beliau di JKSM.  Visi itu disambut baik oleh YBhg. Dato’ Sri yang turut menganggap isu integriti ini sememangnya perlu diberi keutamaan dan wajib dilaksanakan di setiap agensi.

Kedua-dua figura bersetuju untuk mengadakan kerjasama yang erat berdasarkan prinsip yang sama-sama mereka pegang iaitu semua pihak tidak boleh bekerja ‘insilo’ dalam memastikan misi mewujudkan pegawai yang berintegriti dan bebas rasuah tercapai.

Dalam pertemuan tadi juga, satu persetujuan telah disepakati untuk mengadakan Program Training of Trainers (TOT) di kalangan Pegawai Integriti JKSM, JKSN dan MSN selama dua (2) minggu bermula bulan Julai 2019.

Dalam masa yang sama, SPRM bersedia untuk menempatkan Pegawai SPRM di JKSM bagi membantu urusan hal ehwal integriti di Jabatan ini. Namun perbincangan lanjut antara JKSM dan JPA perlu diadakan selanjutnya bagi mendapatkan kelulusan pewujudan jawatan kader tersebut.

Sementara itu, taklimat-taklimat berkala akan diadakan oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM di JKSM,  JKSN,  MSN seluruh Malaysia.

Sesi pertemuan berkakhir dengan YAA Dato’ Dr. diberi penghormatan untuk menandatangani buku pelawat SPRM.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
22 April 2019

Lihat Gambar