FIFTH EDUCATION TALK 2019 (FedTalk) PENGABAIAN NAFKAH ANAK OLEH YAA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM

Satu kuliah umum bertajuk "Pengabaian Nafkah Anak" telah diadakan di Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) anjuran Kolej Kediaman Dayasari, Universiti Malaya Sesi 2018/2019.

Kuliah umum tersebut sangat bermakna kerana topik tersebut telah disampaikan sendiri oleh YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Tambahan lagi isu berkaitan nafkah anak sangat dekat di hati YAA Dato' Dr. yang juga merupakan peneraju pertama sebagai Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ketika bahagian itu ditubuhkan pada 22 Oktober 2008.

Dalam ceramah YAA Dato' Dr, beliau telah melahirkan rasa cakna terhadap isu-isu yang timbul berkaitan pengabaian nafkah anak oleh para suami yang culas mematuhi perintah mahkamah.

Pengabaian nafkah anak ini tidak boleh dipandang enteng oleh sesiapapun dan JKSM sendiri akan mempertingkatkan usaha ke arah memastikan isu ini dapat diuruskan dengan lebih baik di masa akan datang.

Justeru, BSK sendiri telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam membantu ramai wanita yang menghadapi masalah dengan bekas suami yang culas ini.

BSK juga telah mewujudkan sistem e-nafkah pada tahun 2012 yang mana sistem tersebut diintegrasi dengan sistem e-syariah untuk memantau mana-mana perintah nafkah yang tidak dipatuhi.

Dari tahun 2015 hingga 2018 juga, BSK telah mengendalikan sebanyak 5810 kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah. Seramai 1118 orang telah menerima pendahuluan dan bantuan nafkah setakat ini yang melibatkan kos berjumlah RM2,148,104.

YAA Dato' Dr. juga bertekad untuk mengembangkan dan memperkemaskan lagi peranan BSK dan Mahkamah-Mahkamah Syariah agar lebih ramai ibu-ibu tunggal dan anak-anak dapat dibantu.
Dalam masa yang sama kefahaman terhadap tanggungjawab susur galur pemberi nafkah perlu juga disebar luas kepada semua masyarakat agar semua ahli keluarga pihak suami turut menggalas tanggungjawab yang sewajarnya.

YAA Dato' Dr. juga meluangkan masa lebih kurang setengah jam untuk sesi soal jawab bersama audien yang hadir.

Di penghujung sesi, Datuk Kamilia binti Datuk Ibrahim yang turut menjadi tetamu kehormat hari ini, telah mengambil peluang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAA Dato' Dr. atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie yang baharu.

Dalam ucapan tahniah tersebut, Datuk Kamilia berpandangan bahawa pelantikan YAA Dato' Dr. bakal memberikan nafas baharu kepada Sistem Kehakiman Syariah Malaysia untuk menjadi lebih cemerlang dan gemilang.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
23 APRIL 2019

Lihat Gambar