MAJLIS AMANAT YAA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA BERSAMA WARGA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN

Satu majlis penyampaian amanat YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah diadakan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS), Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada hari ini.

Program tersebut telah dihadiri oleh semua Pegawai dan Kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan termasuklah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan,  Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri Sembilan,  Jabatan Bantuan Guaman dan Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan.

Justeru, dalam amanat beliau, YAA Dato’ Dr. telah menekankan beberapa elemen penting yang perlu diterapkan dalam peribadi seorang Peguam Syarie. Antaranya setiap tindakan yang dilakukan hendaklah berlandaskan akal fikiran yang rasional, amanah dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Setiap tugasan yang dilakukan hendaklah dalam keadaan yang penuh tawaduk atas kesedaran setiap pekerjaan itu merupakan satu ibadah kepada yang Esa.

Keperibadian ini sangat berkait rapat dengan motto CENDIKIA yang dicipta oleh YAA Dato’ Dr. iaitu Cendikiawan, Ikhlas dan Amanah. Seorang Peguam Syarie membawa peranan sebagai ‘Rakan Mahkamah’ (Officers of the Court) yang perlu menyelesaikan kes-kes dengan penuh adil dan saksama. Setiap hujah yang disampaikan hendaklah dibahaskan dengan penuh intelek dan berfakta. Janganlah berhujah seperti ‘tin kosong’ yang hanya petah berkata-kata tapi pengisiannya penuh dengan kebatilan.

YAA Dato’ Dr. juga telah menyampaikan rasa bangga beliau terhadap Pegawai dan Kakitangan JKSNS yang telah menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sesuai dengan motto Cendikiawan yang sentiasa diwar-warkan oleh YAA Dato’ Dr.

Antara pegawai yang terlibat adalah Tuan Suhaizad bin Saifuddin yang sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat PHD. Manakala tiga (3) orang pegawai pula sedang menyambung pengajian secara Pelan Pembangunan Bidang Kejaya hasil MoU JKSM dgn USIM iaitu Puan Ruzita bt Ramli (PhD), Tuan Abdul Halim b. Muhammad (Sarjana) dan Tuan Jimmy b. Mohd Azlin (Sarjana).

YAA Dato’ Dr. turut berbangga  dengan kejayaan JKSNS yang berjaya mengekalkan Anugerah 5 Bintang dalam Audit AI (Accountability Index).

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
26 April 2019

Lihat Gambar