MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH / KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM) KEPADA WARGA MAHKAMAH WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN (MSWPL)

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menyampaikan amanat beliau kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Labuan sebelum Prosiding Kes Rayuan di Labuan dimulakan.

Antara intipati ucapan beliau ialah menekankan tentang betapa pentingnya setiap warga MSWPL sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik, bersifat empati dan pro-aktif dalam melayani setiap pelanggan yang hadir ke mahkamah. Ini kerana para pelanggan yang hadir ke MSWPL kebiasaannya terdiri daripada pelbagai etnik dan suku yang sentiasa meletakkan ekspektasi yang tinggi semasa ingin mendapatkan perkhidmatan di MSWPL.

YAA Dato’ Dr. juga telah menyentuh isu integriti di kalangan warga MSWPL bersesuaian dengan motto Amanah yang diilhamkan oleh beliau. Adalah sangat kritikal agar semua pegawai dan kakitangan MSWPL untuk mempunyai jati diri yang kukuh dan teguh berlandaskan nilai-nilai murni seperti jujur, adil dan bertanggungjawab. Ini bagi mengelakkan berlakunya gejala-gejala negatif seperti penyalahgunaan kuasa, korupsi, pengurusan birokratik dan berbagai-bagai bentuk penipuan atau kecuaian yang sering berlaku dalam pengurusan pentadbiran.

Justeru, pihak pentadbiran MSWPL juga hendaklah tidak memandang enteng akan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau pun kedudukan, eksploitasi terhadap kelemahan dalam prosedur demi keuntungan peribadi agar imej dan nama baik Jabatan akan sentiasa terpelihara di mata masyarakat. Andainya berlaku juga perkara yang sedemikian, pihak pentadbiran perlu tegas bagi mengenakan tindakan sewajarnya kepada si pelaku. Ini selari dengan tema Hari Pekerja 2019 itu sendiri iaitu “Pekerja Amanah, Aspirasi Negara”.

YAA Dato’ Dr. juga turut menyeru semua warga MSWPL untuk membuat reformasi minda dalam cara bekerja seperti memberi nafas baharu kepada kaedah dalam menyebarluaskan lagi perkhidmatan yang ditawarkan. Semua warga MSWPL hendaklah sentiasa turun padang dan melihat sendiri pemasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Mereka juga perlu memiliki sikap berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam melakukan setiap tugasan.

Semoga dengan anjakan paradigma dalam perkhidmatan warga MSWPL ini dapat membantu usaha Kerajaan menjadikan Malaysia Sebagai Model Pentadbiran Islam Terunggul Yang Progresif dan Inklusif Menjelang 2025.

Turut hadir pegawai dan kakitangan gred LS di JAPENS dan JBG cawangan Labuan.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
2 MEI 2019

Lihat Gambar