KUNJUNGAN HORMAT YAA KETUA HAKIM SYARIE JKSM KE ATAS YBHG. DATO’ TKSUK JPM

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Dato' Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad di Pejabat TKSUK, Kompleks JPM pagi ini.

YAA Dato’ Dr. telah berpeluang untuk menjelaskan perihal inisiatif dan langkah-langkah yang beliau akan laksanakan di JKSM dalam memastikan institusi kehakiman syariah di negara kita akan terus maju dan kehadapan.

Perkara ini dipersetujui oleh YBhg. Dato’ TKSUK yang turut menyarankan agar penerangan terhadap undang-undang syariah kepada semua lapisan masyarakat diperhebat dan disebarluaskan agar semua pihak mempunyai kesedaran dan celik akan hak-hak masing-masing. Beliau beranggapan bahawa andainya usaha ini dilakukan secara konsisten dan bersepadu oleh semua warga JKSM dan Pegawai-Pegawai Syariah, maka persepsi negatif masyarakat terhadap Mahkamah Syariah dapat diubah di masa akan datang.

Justeru, sebelum gerak kerja dilaksanakan, YBhg. Dato’ TKSUK berharap agar semua warga JKSM benar-benar memahami dan menghayati tiga (3) teras yang telah digariskan oleh Kerajaan. Dalam masa yang sama, beliau turut berjanji akan memberikan sokongan, dokongan dan bantuan yang tidak berbelah bahagi kepada YAA Dato’ Dr. dan semua warga JKSM dalam memperkasakan Kehakiman dan Perundangan Syariah di Negara kita.

Dalam pertemuan mesra selama 45 minit tersebut juga, YAA Dato’ Dr. turut berkesempatan menjelaskan pertanyaan YBhg. Dato’ TKSUK perihal padangan mazhab dalam Islam dan bagaimana ianya diterjemahkan dalam undang-undang.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
23 Mei 2019

Lihat Gambar