TELE-CONFERENCE YAA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE BERSAMA CEO FAMILY COURT AUSTRALIA

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mendapat penghormatan kerana dijemput oleh Mrs. Leisha Lister, CEO Family Court of Australia untuk mengadakan tele-conference pada jam 12 tengahari tadi bertempat di Bilik Mesyuarat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Aras 7, JKSM.

Mrs. Leisha turut ditemani oleh Mrs. Cate Summer Director Law Partners, Family Court of Australia. Manakala YAA Dato' Dr. ditemani oleh Tuan Shamsuddin bin Hussain, Pengarah BSK dan Dr. Jazilah binti Mohd Saad, Ketua Penolong Pengarah BSK.

Tele-conference yang berlangsung selama 45 minit tersebut telah memberi peluang kepada Mrs. Leisha Lister dan Mrs. Cate Summer untuk mempelajari perihal Peranan dan Fungsi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dalam membantu membela nasib para isteri dan anak-anak dari sudut nafkah selepas berlakunya penceraian.

YAA Dato' Dr. telah menerangkan dengan terperinci kepada hakim dari Australia tersebut bagaimana BSK telah membantu menyelesaikan masalah penguatkuasaan nafkah di kalangan para suami yang culas.

BSK yang ditubuhkan pada tahun 2008 ini, merupakan idea yang dicetuskan oleh Kerajaan rentetan 12,000 kes nafkah yang tertunggak pada sebelum 2008.

YAA Dato' Dr. yang meneraju BSK pada tahun 2008 telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang proaktif dalam mengurangkan kes-kes nafkah tertunggak sekaligus memastikan suami-suami culas dikenakan tindakan oleh pihak mahkamah.

Di akhir perbualan, Mrs. Leisha Lister juga menjemput YAA Dato' Dr. ke Australia bagi mengadakan perbincangan dan kerjasama dua hala dalam isu penguatkuasaan nafkah ini.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
31 Mei 2019

Lihat Gambar