KUNJUNGAN HORMAT WASIYYAH SHOPPE BERHAD KE ATAS KETUA PENGARAH/ KETUA HAKIM SYARIE JKSM

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menerima satu kunjungan hormat daripada Wasiyyah Shoppe Berhad bertempat di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pada jam 11.45 pagi tadi.

Delegasi Wasiyyah Shoppe terdiri daripada YBhg. Dato’ Seri Md Yusup Bin Che Teh (Pengerusi Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad), Dr. Hjh Noor Lizza Binti Mohamed Said (Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad), Dr. Mohd Zamro Bin Muda (Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad), Tuan Hj. Ariffin Bin Sabirin (Pengarah Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad) dan Cik Nurul Syaqinah Binti Ariffin (Eksekutif Perancangan Korporat Wasiyyah Shoppe Berhad).

Tujuan utama kunjungan tersebut adalah bagi memberi sedikit taklimat kepada YAA Dato’ Dr. perihal satu sistem pendaftaran pengurusan harta pusaka yang lebih efisien dan sistematik oleh Wasiyyah Group Berhad. Sistem yang merupakan satu inovasi baharu tersebut bakal memudahkan urusan pengurusan harta pusaka dan dapat digunakan dengan meluas oleh agensi-agensi pentadbir harta pusaka serta orang awam.

YAA Dato’ Dr. menyambut baik cadangan tersebut dan berpendapat bahawa dalam era pemodenan dan globalisasi ini, setiap agensi hendaklah sentiasa proaktif dan berdaya saing dengan perubahan sistem dan teknologi semasa agar tidak ketinggalan.

Ini bersesuaian dengan hasrat YB Menteri di JPM, Datuk Seri Mujahid bin Yusof yang  telah memperkenalkan tujuh kluster dalam misi mengangkat Islam di era Malaysia Baharu. Lebih-lebih lagi JKSM sendiri merupakan peneraju kepada Kluster 1 (Perundangan dan Kehakiman) iaitu “Memperkasakan Perundangan Dan Kehakiman Syariah Melalui Reformasi Berterusan Pentadbiran Kehakiman, Penggubalan Undang-Undang Dan Peningkatan Profesionalisme Hakim-Hakim Syarie”.

Wasiyyah Shoppe berhasrat menjadi organisasi perancangan harta dan pengurusan pusaka patuh Syariah yang utama di Malaysia yang memberikan Perkhidmatan Peribadi (Personalized Service) cemerlang kepada pelanggan dan waris sekaligus membantu waris melalui proses tuntutan harta pusaka dengan pantas pada kos yang paling minima. Justeru, pihak Wasiyyah Shoppe sangat teruja dengan sokongan dan keterbukaan YAA Dato’ Dr. dalam memberikan kerjasama dalam pembangunan sistem yang bakal dilaksanakan tersebut.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
12 Jun 2019

Lihat Gambar