LAWATAN TAPAK PROJEK KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH DI LIKAS, KOTA KINABALU, SABAH DAN MESYUARAT TAPAK BERSAMA KONTRAKTOR DAN JKR PERSEKUTUAN DAN NEGERI

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengadakan lawatan Lawatan Tapak Projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada jam 2.00 petang tadi.

Sebelum lawatan tapak itu diadakan, YAA Dato’ Dr. telah diberikan penerangan dan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat pembinaan yang terlibat dengan pembangunan projek tersebut. Antara penerangan yang diberikan adalah tentang senireka bangunan dan perkembangan pembinaan yang kini telah mencapai 44%.

Antara wakil-wakil yang turut hadir ialah YA Tuan Ahmad Din OKK Othman (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah), Puan Surayah binti Ramlee (Ketua Pendaftar JKSN Sabah), Encik Basyid bin Hamid (Jurutera Kanan) dan Puan Narima Hanim binti Zainal Abidin (Arkitek Penguasa Kanan JKR Persekutuan).

Semasa taklimat tersebut, YAA Dato’ Dr. juga mengambil kesempatan melahirkan harapan agar projek yang dijalankan dapat diselesaikan dengan lancar mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan. Ini bagi merealisasikan hasrat Jabatan agar bangunan yang siap kelak dapat menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa kepada para pelanggan mahkamah sekaligus menaikkan imej JKSM dan institusi kehakiman secara menyeluruh.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
13 Jun 2019

Lihat Gambar