KUNJUNGAN HORMAT INTERNATIONAL ACADEMY OF FAMILY LAWYERS (IAFL) CAWANGAN MALAYSIA KE ATAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah dikunjungi oleh dua orang wakil daripada International Academy Of Family Lawyers (IAFL) Cawangan Malaysia bertempat di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pada jam 3.00 petang tadi.

IAFL yang diwakili oleh Mrs. Foo Yet Ngo dan Mrs. Kiran Dhaliwal telah mengambil peluang untuk bertemu dengan YAA Dato’ Dr. bagi mendapatkan penerangan berkaitan Sistem Kehakiman Syariah di Malaysia sempena satu siri jemputan ‘IAFL Asia Pacific Chapter Meeting’ kepada YAA Dato’ Dr. di Bangkok pada tahun 2020.

Dalam sesi kunjungan selama sejam sebentar tadi, pihak IAFL juga mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut perihal prinsip perundangan di Malaysia, bidangkuasa Mahkamah Syariah, pemakaian konsep ‘binding president’ di Mahkamah Syariah, isu pertembungan bidangkuasa antara Mahkamah Syariah dan Sivil dan banyak lagi.

Pihak IAFL juga turut memberikan taklimat ringkas kepada YAA Dato’ Dr. tentang konsep Program ‘IAFL Asia Pacific Chapter Meeting’ yang bakal diadakan pada tahun hadapan. Untuk makluman semua, YAA Dato’ Dr. telah dijemput dalam program tersebut untuk berucap dan memberikan penerangan berkaitan Sistem Kehakiman Syariah di Malaysia kepada para peserta yang merupakan pengamal undang-undang dari seluruh dunia.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
17 Jun 2019

Lihat Gambar