KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS KETUA HAKIM NEGARA

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengadakan satu (1) kunjungan hormat ke atas YAA Dato' Tengku Maimun binti Tuan Mat, Ketua Hakim Negara pada jam 2.30 petang tadi bertempat di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Pertemuan yang julung-julung kali diadakan ini telah berlangsung dalam suasana cukup mesra sambil membincangkan pelbagai isu antaranya bidangkuasa sivil dan syariah, pengurusan kes di Mahkamah Sivil dan lain-lain.

YAA Dato’ Dr. juga turut menyuarakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dua hala antara kedua-dua institusi dengan mengadakan kursus-kursus kepada para Hakim Syarie dan Unit Rayuan JKSM berkaitan pengurusan kes, taksiran kos dan sebagainya. YAA Dato’ Tengku menyambut baik akan cadangan tersebut dan turut mempelawa pegawai-pegawai syariah JKSM untuk hadir dan melihat sendiri bagaimana prosiding Mahkamah Sivil dijalankan.

Turut hadir bersama sebentar tadi ialah YA Dato' Setia Haji Mohd. Zawawi bin Salleh (Hakim Mahkamah Persekutuan),  YA Tuan Mohd Amran bin Mat Zain (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah),
YA Dato' Haji Mohd Shukor bin Sabudin (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah), YA Datuk Haji Mohd Radzi Bin Abd Latif (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah), YA Datuk Jasri @ Nasip Bin Mat Jakir (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah) dan Puan Hajah Noor Hadina Binti Ahmad Zabidi (Ketua Pendaftar JKSM).

Semoga pertemuan selama sejam ini merupakan satu titik tolak akan perkembangan yang lebih positif dan kukuh terhadap hubungan antara kedua-dua institusi kehakiman sekaligus dapat menaikkan imej sistem perundangan Malaysia di mata masyarakat.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
19 Jun 2019

Lihat Gambar