MAJLIS MUNAQASYAH PENGURUSAN HAL EHWAL ISLAM NEGERI-NEGERI DI BAWAH NAUNGAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, telah diberi penghormatan untuk membentangkan kertas kerja di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sempena Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri di bawah Naungan Seri Paduka Baginda bertempat di Istana Negara, pagi tadi.

Kertas kerja yang bertajuk "Penambahbaikan Pelaksanaan Hadhanah di Malaysia" disambut baik oleh Seri Paduka Baginda Tuanku yang mana ianya turut dibentangkan di hadapan 27 peserta yang lain termasuk semua Pengerusi dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri, Mufti-mufti negeri, Ketua-Ketua Hakim Syarie dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri di bawah naungan baginda.

Majlis itu adalah julung kali diadakan bersama antara Istana Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas inisiatif Seri Paduka Baginda bagi memantapkan agensi-agensi agama supaya mempunyai keseragaman.

YAA Dato' Dr. juga sangat teruja dan berharap agar munaqasyah yang diadakan ini dapat menjadi satu titik permulaan kepada impak yang besar terhadap pembangunan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah secara keseluruhannya. Ini selari dengan titah Tuanku sendiri yang inginkan agar Institusi Kehakiman Syariah dapat mengukuhkan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan keadilan menjadi lebih cekap dan efisien.

Majlis bermula pada jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 2.30 petang.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
20 Jun 2019

Lihat Gambar