KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT (KPWKM)

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengetuai delegasi JKSM dan MSWP sempena kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Dr. Rose Lena binti Lazemi, Ketua Setiausaha KPWKM.

Satu perbincangan berkaitan sesi libat urus juga turut diadakan semasa kunjungan hormat ini berlangsung yang mana YAA Dato' Dr. telah berkesempatan menyampaikan taklimat berkaitan "Mahkamah Khusus Hadanah, Nafqah & Penguatkuasaan & Pelaksanaan". YAA Dato' Dr. telah menyatakan bahawa perbincangan libat urus bersama KPWKM ini adalah bagi mendapatkan pandangan mengenai kaedah terbaik dalam melaksanakan kes-kes yang melibatkan hadhanah dan nafkah.

Perkara ini ternyata disambut baik oleh YBhg. Datuk KSU demi memastikan pengendalian kes hadhanah dan nafkah ini dapat dipercepatkan proses penyelesaiannya demi kebajikan semua pihak terutamanya pihak anak-anak.

Usul dan cadangan YAA Dato' Dr. dan MSWP ini juga ternyata selari dengan hasrat Kerajaan dan NGO-NGO yang kerap melaksanakan program-program melibatkan isu-isu berkaitan literasi undang-undang, pemantapan perkahwinan, kekeluargaan serta pengurusan emosi (bimbingan kaunseling).

Dalam pertemuan itu juga, YBhg. Datuk KSU turut mengucapkan tahniah kepada YAA Dato' Dr. atas pelantikan beliau sebagai KP/KHS JKSM yang baharu. YBhg. Datuk Dr. Rose Lena sangat teruja dan sukacita dengan pelantikan tersebut memandangkan YAA Dato' Dr. sebelum ini telah banyak berjasa dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea yang bernas kepada KPWKM khususnya dalam isu kekeluargaan, wanita dan kanak-kanak.

Turut hadir ialah YAA Tuan Ibrahim bin Deris (Ketua Hakim Syarie MSWP), YBhg. Datuk Saidatu Akhma binti Hassan (Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita), Tuan Haji Abdul Shukur bin Abdullah (Ketua Pengarah LPPKN), Encik Zulkifli bin Ismail (Ketua Pengarah JKM), Encik Chua Chun Hwa (Setiausaha Bahagian Dasar dan Pembangunan Strategik KPWKM) serta YBhg. Ustaz Zamri bin Zainal Abidin; Pegawai Khas (Agama) kepada YAB Timbalan Perdana Menteri.

Syabas kepada kedua-dua agensi dan semoga cadangan ini dapat menjadi satu inovasi dalam memberi solusi terbaik bagi membela nasib wanita dan kanak-kanak.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
20 Jun 2019

Lihat Gambar