KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri bertempat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya jam 9.00 pagi tadi.

YAB Dato’ Seri yang juga merupakan Menteri KPWKM turut mengambil peluang untuk mengadakan sedikit perbincangan bersama YAA Dato’ Dr. berkaitan isu-isu seperti anak tidak sah taraf, perkahwinan bawah umur, nafkah anak, poligami dan lain-lain. YAA Dato’ Dr. telah menjelaskan dengan terperinci akan isu-isu yang dibangkitkan dan bagaimana usaha YAA Dato’ Dr. untuk memastikan masalah-masalah seumpama tersebut dapat diselesaikan dengan lebih efektif dan proaktif dalam tempoh beliau menerajui JKSM.

Hasrat tersebut juga selari dengan impian YAB Dato’ Seri yang mempunyai harapan besar agar nasib anak-anak tidak sah taraf misalnya dapat terbela dan tidak didiskriminasi dari sudut sosial dan masyarakat. Begitu juga dengan penekanan terhadap penguatkuasaan perintah nafkah yang sering dipandang enteng oleh para suami yang tidak bertanggungjawab.

YAB Dato’ Seri turut melahirkan rasa gembira atas pelantikan YAA Dato’ Dr. sebagai KP/KHS yang baharu yang mana beliau yakin dan percaya YAA Dato’ Dr. akan memberikan impak dan perubahan yang besar dalam Sistem Kehakiman Syariah Malaysia sekaligus menjadikan imej Mahkamah Syariah dapat dipertingkatkan dan dipandang tinggi oleh semua lapisan masyarakat.

Pertemuan selama 45 minit tersebut berlangsung dalam suasana cukup mesra dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati tanda kenang-kenangan.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
24 Jun 2019

Lihat Gambar