KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PEGUAM NEGARA

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, YBhg. Tuan Thommy Thomas bertempat di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya jam 10.00 pagi tadi.

Pertemuan dimulakan dengan ucapan tahniah oleh YBhg. Peguam Negara atas pelantikan YAA Dato' Dr. sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie yang baharu berkuatkuasa 1 April 2019 yang lalu.

Semasa kunjungan hormat ini berlangsung, YAA Dato' Dr. dan YBhg. Peguam Negara berkesempatan bertukar-tukar penjelasan dan pandangan perihal Perlembagan Undang-Undang Syariah dan Sivil, struktur pentadbiran syariah, 'separation of power' dan lain-lain.

YAA Dato' Dr. juga berkesempatan menjelaskan perancangan JKSM untuk mewujudkan mahkamah 4 tier berbanding 3 tier di masa sekarang. YBhg. Peguam Negara menyambut baik perancangan tersebut dan akan memberi sokongan penuh kepada sebarang kolaborasi strategik antara kedua agensi dalam membantu urusan pentadbiran JKSM secara amnya.

YBhg. Peguam Negara juga telah melahirkan hasrat untuk mengadakan pertemuan antara Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, Ketua Hakim Negara, Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam Negara (Sivil dan Syariah).

Pertemuan yang julung-julung kali akan diadakan tersebut bakal memberikan impak yang tinggi kepada sistem perundangan dan kehakiman negara sebagai satu platform bagi semua pihak berkongsi idea dan pandangan demi kebaikan semua pihak.

Kunjungan mesra sebentar tadi telah berlangsung selama 30 minit dan diakhiri dengan pemberian cenderahati dari YAA Dato' Dr. kepada YBhg. Peguam Negara.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
25 Jun 2019

Lihat Gambar