TEMURAMAH BERSAMA STRAITS TIMES SINGAPORE

Satu temuramah bersama YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dengan wartawan Straits Times Singapore (STS) telah diadakan pada jam 10.00 pagi tadi bertempat di Pejabat Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Kompleks Islam Putrajaya.

Dalam sesi temubual tersebut, YAA Dato’ Dr. telah diajukan pertanyaan yang memberi fokus tentang penubuhan Mahkamah Khas Hadhanah dan Nafkah yang dijangka mula beroperasi menjelang Ogos 2019 di Jalan Duta, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

YAA Dato’ Dr. telah menjelaskan bahawa pewujudan mahkamah ini selari dengan konsep tiga teras yang dibawa oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Rahmatan Lil’alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang mana konsep-konsep tersebut menitikberatkan kepentingan ummah terutamanya kebajikan wanita dan kanak-kanak.

JKSM mengambil maklum akan isu yang sentiasa dibangkitkan oleh masyarakat terutamanya perihal kes-kes tuntutan nafkah dan hadhanah yang tertangguh akibat kekangan-kekangan seperti hakim yang terpaksa mengendalikan kes-kes mal yang lain dan kes-kes jenayah dalam masa yang sama. Penubuhan mahkamah ini yang bakal memberi tumpuan kepada kes hadhanah dan nafkah sahaja dijangka dapat menyelesaikan kes dengan lebih banyak dan cepat (jangkaan selesai 6 bulan) sekaligus memberi keadilan yang sewajarnya kepada pihak-pihak yang hadir ke mahkamah.

Selain daripada penubuhan Mahkamah Khas Hadhanah dan Nafkah ini, Bahagian Khas Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (BKPPP) juga bakal diwujudkan yang berperanan membantu menguatkuasakan segala perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah-mahkamah khas tersebut.

Bahagian ini selari dengan peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang ditubuhkan pada 2008. Namun skop penguatkuasaan BKPPP tidak hanya tertumpu kepada nafkah semata-mata tetapi diperluaskan kepada semua perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah khas tersebut.

Walaubagaimanapun, para pelanggan mahkamah yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan penginapan, masih boleh berurusan dengan BSK yang bukan sahaja membantu menguatkuasaan perintah nafkah malah menyediakan perkhidmatan BSK Transit (penginapan), elaun pengangkutan dan elaun makan yang semuanya diberikan secara percuma bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan khususnya para wanita.

YAA Dato’ Dr. juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Straits Time Singapore dan berharap agar hubungan baik dengan para media seumpama ini dapat diteruskan demi membantu menyebarluaskan peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JKSM kepada orang ramai.

Temubual yang berlangsung selama hampir 90 minit tadi telah dijalankan dalam Bahasa Inggeris dan artikelnya boleh dibaca secara dalam talian dan bercetak khas buat para pembaca NST Singapore.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
8 Julai 2019

Lihat Gambar