MESYUARAT KETUA-KETUA PENDAFTAR MAHKAMAH SYARIAH SELURUH MALAYSIA KALI KE-70 BIL. 2 TAHUN 2019

Mesyuarat Ketua-ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Kali ke-70 Bil. 2/ 2019 telah diadakan dari 8 hingga 9 Julai 2019 di JKSM. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Puan Hajah Noor Hadina binti Ahmad Zabidi, Ketua Pendaftar JKSM.

Mesyuarat pada kali ini, mengetengahkan isu berhubung proses penyampaian dokumen mahkamah ke luar negara. Taklimat berkaitan perkara ini telah disampaikan oleh wakil pegawai daripada Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri (KLN).

Berdasarkan taklimat tersebut mesyuarat telah bersetuju supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) diwujudkan bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman pengurusan kes-kes yang melibatkan penyampaian dokumen ke luar negara berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan serta cadangan penambahbaikan bagi mengatasi isu-isu tersebut.

Pihak JKSM amat berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama strategik seperti ini bagi kes-kes yang melibatkan pihak-pihak yang berada di luar negara.

Kadar deposit atau jaminan bagi Kes Rayuan Syariah dan Prosedur Kerja dan Carta Aliran Pengurusan Pengendalian Wang Deposit/Jaminan bagi Kes-Kes Rayuan turut dibincangkan dalam mesyuarat ini. Mesyuarat bersetuju perkara ini diperhalusi melalui bengkel untuk mewujudkan garis panduan yang seragam bagi Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.

YAA Dato’ Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM turut meluangkan masa bersama semua Ketua Pendaftar. Beliau menekankan sifat amanah atas tanggungjawab yang diberikan sebagai Ketua Pendaftar selaku tulang belakang kepada YAA Ketua Hakim Syarie Negeri bersama-sama JKSM dalam memastikan penyelarasan dan penyeragaman dari sudut undang-undang dan pentadbiran berjalan dengan baik.

Beliau turut menyampaikan hasrat agar kerjasama yang baik diberikan oleh Ketua-ketua Pendaftar dalam membantu menyediakan statistik yang diperlukan dalam tempoh masa yang terhad. Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kerana bersama-sama JKSM dalam usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman perundangan dan kehakiman bagi seluruh Malaysia.

Dalam mesyuarat yang sama, Bengkel Pemurnian Kod Kes e-Syariah Versi 3 telah diadakan bagi menambah baik sistem pendaftaran kes mal dan jenayah di Mahkamah Syariah. Pewujudan sistem baharu akan memudahkan pengguna untuk mendaftarkan kes serta menjana statistik kes.


URUSETIA BAHAGIAN PENDAFTARAN, KEURUSETIAAN DAN REKOD JKSM
10 Julai 2019

Lihat Gambar