KHS TERIMA KUNJUNGAN HORMAT TIMBALAN CEO IAIS

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj Mokhtar, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie, JKSM menerima kunjungan hormat Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Timbalan CEO, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia bertempat di Aras 7, Bangunan Kompleks Islam Putrajaya petang semalam.

Ketibaan Dr Azam yang turut disertai ahli pemikir IAIS iaitu Dr Fakhurrazi Ahmad, Ustadz Mohd Fariz Zainal Abdullah dan Encik Misran disambut YAA Dato’ Dr. Na’im dipejabatnya jam 2.45 petang.

Kunjungan berlangsung selama 45 minit menyediakan peluang kepada kedua-dua belah pihak berbincang lanjut pelbagai isu bagi kepentingan bersama terutama berhubung kerjasama dua hala antara JKSM dan IAIS.

Bagi pemerkasaan bidang perundangan Islam, Dr Azam mencadangkan dianjurkan satu persidangan antarabangsa sebagai platform menjana pemikiran strategik sekali gus merealisasi transformasi perundangan Islam seperti yang dihasratkan oleh masyarakat sejagat.

Cadangan ini disambut baik oleh YAA Dato’ Dr. dengan berkata, “secara permulaan, Kehakiman Mahkamah Nusantara akan dibentuk dan bakal melibatkan Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. Sementara itu, bagi persidangan antarabangsa yang bakal diadakan pada tahun 2020, JKSM selaku sekretariat akan meneliti kaedah dan sumber yang terbaik bagi tujuan pelaksanaan tersebut.”

Selain itu, Dr Azam turut menawarkan khidmat kepakaran IAIS dan berhasrat bekerjasama dengan JKSM dalam bidang penyelidikan, pendidikan serta penerbitan bahan-bahan berbentuk ilmiah. Beliau mengambil contoh, Jurnal Hukum perlu diterbitkan secara dwi-bahasa dan dibukukan secara maya atau e-book bagi tujuan menyebar luas pembacaannya dalam kalangan masyarakat.

YAA Dato’ Dr. sewaktu mengulas pandangan tersebut menjelaskan JKSM berbesar hati menerima pelawaan tersebut dan perbincangan bersama yang lebih menyeluruh amat perlu bagi merealisasikan hasrat tersebut.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
10 Julai 2019

Lihat Gambar