PROGRAM PENGUKUHAN SISTEM SOKONGAN INSTITUSI KEKELUARGAAN

Satu Program Pengukuhan Sistem Sokongan Institusi Kekeluargaan anjuran Bahagian Sokongan Keluarga JKSM dan PERKIM Bahagian Negeri Sembilan diadakan pada 13 Julai 2019 bertempat di Dewan Kuliah Kompleks As-Saadah, Seremban, Negeri Sembilan.

Program dirasmikan oleh YBhg. Datin Seri Hajah Wan Hasni Binti Wan Yusof, isteri YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

YAA Dato' Dr. Haji Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM turut menyampaikan kata-kata aluan dalam majlis perasmian tersebut.

Dalam ucapan beliau, YAA Dato' Dr. menekankan betapa pentingnya semua pihak memahami hak dan tanggunggjawab suami isteri dari sudut perundangan.

Justeru, dengan mengambil semangat ini, YAA Dato' Dr. berharap akan keberkatan dan rahmat dari Allah swt hasil daripada usaha Bahagian Sokongan Keluarga JKSM dan PERKIM dalam memastikan dakwah dan ilmu berkenaan undang-undang kekeluargaan dan peranan mahkamah syariah dapat disebarluas dengan jayanya.

Pada hari ini juga para peserta telah disajikan dengan tiga pembentangan kertas kerja yang menarik.

Kertas kerja pertama bertajuk 'Peranan Mahkamah Syariah Dalam Mengukuhkan Institusi Kekeluargaan' oleh YAA Tuan Abas bin Nordin; Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan.

Pembentangan kertas kerja kedua pula bertajuk 'Sistem Sokongan Keluarga ke Arah Pemantapan Institusi Kekeluargaan' oleh YBhg. Prof. Dato' Noor Aziah binti Hj. Mohd Awal.
Manakala kertas kerja ketiga dibentangkan oleh Puan Ruzanna binti Sager Ahmad dari Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan bertajuk 'Peranan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)'.

Turut diadakan adalah kaunter-kaunter pameran dari BSK Negeri Sembilan dan Unit Sulh BPKR, JKSM.
Program selesai sepenuhnya pada jam 6.00 petang dengan acara sesi bergambar beramai-ramai dan jamuan minum petang.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
13 Julai 2019

Lihat Gambar