KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS YB SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PERLIS (SUK)

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM mengadakan satu kunjungan hormat pada ke atas Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Tuan Azman bin Mohd Yusof bertempat di Pejabat SUK Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar pada jam 9.00 pagi ini.

Di awal pertemuan sebentar tadi, YAA Dato’ Dr. mengambil peluang menerangkan tentang peranan dan fungsi JKSM dalam struktur pentadbiran Institusi Kehakiman Syariah di negara ini. YAA Dato’ Dr. menyatakan hasrat-hasrat beliau dalam membawa institusi ini lebih terkehadapan seiring dengan kehendak peredaran zaman. Justeru, YAA Dato’ memohon kerjasama dan sokongan dari YB Tuan Azman dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

Harapan YAA Dato’ Dr. tersebut disambut baik oleh YB Tuan Azman dan menyatakan komitmen beliau untuk menyokong segala program yang dirancang oleh JKSM dan JKSNPs disamping menzahirkan harapan terhadap JKSM dan JKSNPs agar terus cemerlang dan berdaya saing untuk menjadi Institusi Kehakiman Syariah yang disegani di masa-masa akan datang.

Di kesempatan itu juga, YB Tuan Azman berkongsi idea dan pandangan dengan YAA Dato’ Dr. perihal visi dan misi khusus beliau terhadap industri pelancongan di negeri indera kayangan tersebut.

Pertemuan berlangsung selama 45 minit.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
16 Julai 2019

Lihat Gambar