MAJLIS AMANAT KP/KHS JKSM BERSAMA WARGA JKSN PERLIS

Satu majlis amanat YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM bersama warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis diadakan pada jam 10.00 pagi tadi bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis.

YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, KP/KHS JKSM menyampaikan amanat di hadapan semua warga JKSNPs yang terdiri daripada YAA Ketua Hakim JKSNPs, Hakim Mahkamah Tinggi/Rendah, para pegawai dan kakitangan JKSNPs.

Dalam amanat beliau, YAA Dato’ Dr. telah menerapkan nilai-nilai ikhlas dalam menjalankan segala amanah dan tugasan yang telah diberikan.  Setiap tanggungjawab tersebut hendaklah digalas dengan sempurna dengan mengambil semangat bahawa setiap pekerjaan yang dilaksanakan itu adalah satu ibadah kepada Allah yang Esa.

Justeru, setiap warga JKSNPs disarankan untuk sentiasa meningkatkan prestasi dan nilai-nilai integriti dalam setiap pekerjaan yang dilakukan bagi meningkatkan prestasi institusi kehakiman syariah khususnya di negeri Perlis.

YAA Dato’ Dr. juga berharap agar semua pegawai dan kakitangan JKSNPs terutamanya yang berkhidmat di kaunter pelanggan agar sentiasa melayani para pelanggan yang hadir dengan lemah lembut dan mesra.

Ini kerana setiap pelanggan yang hadir atau menghubungi JKSNPs memerlukan bantuan dan nasihat berikutan masalah yang mereka hadapi. Sehubungan itu, adalah suatu kewajipan buat semua pihak untuk membantu meringankan beban yang mereka hadapi bukannya merumitkan lagi keadaan.

Semoga dengan layanan mesra tersebut dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap para pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah yang sering dianggap tidak mesra pelanggan. YAA Dato’ Dr. menyatakan sifat taawun seperti ini seiring dengan konsep yang dibawa YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu rahmatan lil’alamin, maqasid syariah dan model Malaysia.

Di akhir amanat, YAA Dato’ Dr. mendoakan agar semua warga JKSNPs dirahmati dan diberkati serta segala usaha diberi ganjaran disisi Allah Taala.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata kepada YAA Dato’ Dr. dan sesi bergambar.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
16 Julai 2019

Lihat Gambar