MEETING WITH THE EUROPEAN UNION HEADS OF MISSION IN MALAYSIA

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah /Ketua Hakim Syarie JKSM telah diundang sebagai tetamu kehormat sempena Meeting With The European Union Heads of Mission in Malaysia bertempat di Menara Tan & Tan, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Maria Castillo Fernandes, Head Of European Union di Malaysia.

Semasa mesyuarat tersebut, YAA Dato' Dr. diberikan penghormatan untuk membentangkan topik bertajuk "The Position of Syariah Law in Malaysia" di hadapan barisan Duta-Duta Kesatuan Eropah yang ditempatkan di Malaysia.

Dalam pembentangan yang diperantarakan dalam Bahasa Inggeris tersebut, YAA Dato' Dr. menjelaskan struktur undang-undang Syariah di Malaysia dari pelbagai sudut seperti prosedur penceraian, nafkah, hadhanah dan lain-lain.

YAA Dato' Dr. juga menjelaskan perihal langkah-langkah yang diambil oleh JKSM dalam meningkatkan mutu perkhidmatan Jabatan antaranya penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang membantu ibu-ibu tunggal dalam urusan tuntutan nafkah anak.

YAA Dato' Dr. turut memaklumkan penubuhan Mahkamah Khas Nafkah dan Hadhanah yang akan beroperasi mulai Ogos 2019. Mahkamah ini akan beroperasi dengan menempatkan hakim-hakim yang pakar dalam bidang nafkah dan hadhanah sekaligus mempercepatkan penyelesaian kes-kes terbabit.

Di akhir sesi, Tuan Yang Terutama Duta-Duta telah berpeluang mengajukan pelbagai pertanyaan kepada YAA Dato' Dr.

Antara soalan yang diajukan ialah berkenaan hukuman rotan terhadap pesalah syariah, kuasa sultan dalam perundangan syariah dan langkah-langkah menyeragamkan undang-undang syariah di Malaysia.
Undangan ini julung-julung kali diadakan kepada teraju kepimpinan JKSM dan merupakan satu penghormatan yang sangat besar khususnya buat Institusi Kehakiman Syariah Malaysia.

Delegasi-delegasi EU yang hadir ialah dari Austria, Belgium, Croatia, Czech Republic, Denmark, Finland, France, Germany, Hungary, Ireland, Italy, Netherlands, Poland, Romania, Spain, Sweden dan UK.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
24 Julai 2019

Lihat Gambar