MESYUARAT KHAS KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA KETUA HAKIM SYARIE JKSN/MSN BAGI PENGURUSAN KES SEMASA DAN SELEPAS PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

29 April 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pagi ini telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM Bersama Ketua Hakim Syarie JKSN/MSN bagi membincangkan berkaitan pengurusan kes di mahkamah syariah seluruh Malaysia semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mesyuarat yang julung kali dijalankan secara atas talian menggunakan perisian Skype for business ini bertujuan memuktamadkan beberapa perkara berkaitan pengurusan kes untuk diangkat ke setiap negeri bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat sepanjang tempoh PKP.

Mesyuarat ini turut disertai oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua-Ketua Hakim JKSN/MSN, Pengarah Kanan JKSM dan Pengarah-Pengarah Bahagian JKSM.

Pihak MKN pada 24 April 2020 telah mengeluarkan kebenaran untuk perbicaraan kes Mahkamah Syariah diteruskan bagi kes-kes mendesak yang perlu didengar dan diberi perhatian segera.

Pihak MKN turut menekankan agar Ketua Pendaftar atau Pendaftar dengan kebenaran Ketua Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah hendaklah menimbangkan dengan sewajarnya dalam menentukan akan kesegeraan serta keperluan untuk sesebuah perbicaraan tersebut dijalankan termasuklah kes-kes yang melibatkan had masa di bawah peruntukan undang-undang.

Selain itu, mesyuarat hari ini juga membincangkan sumbang saran negeri-negeri dalam perkongsian maklumat dan idea bagi memantapkan Institusi Kehakiman Syariah pada masa hadapan.