MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN KEHAKIMAN DAN PERUNDANGAN SYARIAH NUSANTARA 2020

29 September 2020: YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia hari ini telah merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020 bertempat di Movenpick Convention Center, KLIA.

Majlis yang bermula jam 11.00 pagi dimulakan dengan ucapan aluan YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM yang mengambil kesempatan memaklumkan tentang objektif persidangan yang bertemakan “Aplikasi Maqasid Syariah: Ke Arah Pembudayaan Norma Baru Dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Syariah".

YAA Dato' Dr. turut memaklumkan bahawa persidangan peringkat Nusantara ini merupakan persidangan kali kedua penganjurannya di Malaysia, lanjutan daripada kejayaan penganjuran persidangan kali pertama, yang telah diadakan dari 7 hingga 9 November 2016.

Di dalam ucapan perasmian, YAB Perdana Menteri terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan dan mengalu-alukan semua hadirin yang menyertai persidangan ini baik di Malaysia mahupun di Negara Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia yang mengikuti persidangan ini secara sidang video.

YAB Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa komited menyokong usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah di Malaysia.

Antara langkah diambil bagi tujuan itu ialah melakukan penambahbaikan berterusan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim syarie dan profesionalisme pegawai mahkamah dari semasa ke semasa.

Beliau berharap Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu forum yang berperanan sebagai medium pertukaran maklumat dan amalan terbaik institusi kehakiman syariah yang boleh dikongsi dengan negara serantau seperti Brunei, Singapura serta Indonesia dan dapat diadakan secara berterusan dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian.

Untuk rekod, persidangan kali ini telah mengumpulkan seramai 580 peserta terdiri daripada Ketua Hakim Syarie Negeri-negeri, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Pendakwa Syari’e, para peguam Jabatan Bantuan Guaman, Pegawai Sulh, Pegawai Bahagian Sokongan Keluarga dan lain-lain.