KUNJUNGAN HORMAT DUTA EMIRIAH ARAB BERSATU (UAE) KE MALAYSIA

YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah menerima lawatan kunjungan hormat Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Khalid Ghanim Mohammad Alghaith bertempat di Pejabat Ketua Pengarah JKSM.

Tujuan utama kunjungan Duta UAE ke JKSM adalah untuk beramah mesra selain memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua pihak khususnya dalam bidang kehakiman syariah.

YAA Dato' Dr. menggunakan kesempatan ini untuk menerangkan tentang sistem perundangan dan kehakiman yang digunapakai di Malaysia terutama tentang bidangkuasa undang-undang sivil dengan undang-undang syariah.

Selain itu, pelbagai isu turut dibincangkan antaranya kerjasama yang boleh dijalinkan antara kedua-dua pihak khususnya berkaitan latihan kehakiman kepada hakim-hakim syarie yang akan dikendalikan oleh Kerajaan UAE kelak.

YAA Dato' Dr. turut melahirkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan UAE dalam melatih pegawai syariah dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Arab.

Turut hadir bersama dalam sesi kunjungan hormat tersebut adalah Mrs. Nailofer AlBastaki (Deputy Head of Mission), Mr. Idris Osman (Media Affairs & Government Communication) dan Tuan Abdul Halim Abdullah (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM).

Di akhir pertemuan, pihak Kerajaan UAE telah berbesar hati menyampaikan sumbangan 250 kotak buah kurma kepada Wakil Kelab Kebajikan dan Sukan JKSM, Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz untuk diagihkan kepada pegawai dan kakitangan JKSM.