KURSUS BAHASA BADAN & KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGENDALIAN KES DI MAHKAMAH

5 November 2020: YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah merasmikan Majlis Penutup Kursus Bahasa Badan & Komunikasi Berkesan Dalam Pengendalian Kes di Mahkamah menerusi aplikasi atas talian menggunakan Zoom Meetings.

Kursus selama dua hari itu dianjurkan oleh Seksyen Sulh, BPKR JKSM dengan kerjasama Bahagian Latihan JKSM manakala sesi ceramah dikendalikan oleh Pakar Bahasa Badan dan Pelatih (trainer) Bertauliah yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Shahrom Hassan daripada Shahrom Hassan Training Consultant (SHTC).

YAA Dato' Dr. dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan kursus kali ini dan menyeru agar para peserta menggunakan kesempatan yang ada bagi menimba sebanyak mungkin ilmu untuk diaplikasikan dalam tugasan harian, tidak kira jawatan sebagai seorang Hakim Syarie, Pegawai Sulh mahu pun Peguam Syarie.

YAA Dato' Dr. turut menegaskan bahawa kursus seumpama ini merupakan salah satu inisiatif JKSM bagi membangunkan kecekapan kritikal yang diperlukan untuk menghadapi cabaran korporat masa kini dan selari dengan Visi JKSM untuk memartabatkan Institusi Kehakiman Syariah dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Negara.

Objektif kursus kali ini bertujuan membantu peserta dalam memahami komunikasi bukan lisan dengan lebih mendalam serta dapat menganalisa dan mengaplikasi bahasa badan dengan baik dalam pengendalian kes di Mahkamah.

Selain itu, para peserta turut mempelajari teknik mengesan penipuan semasa berinteraksi dengan pelanggan di Mahkamah selain mengetahui kesilapan komunikasi bukan lisan yang sering dilakukan oleh pegawai semasa pengendalian sesuatu kes di Mahkamah.

Akhir sekali, YAA Dato' Dr. mengharapkan kursus ini bukan sahaja dapat membantu dalam pengendalian kes-kes di Mahkamah bahkan dapat membina keyakinan diri serta menyerlahkan karisma tuan/puan sebagai seorang Pegawai Syariah bahkan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian sebagai suami/isteri/bapa/ibu/anak menerusi kerangka kekeluargaan sendiri.