WEBINAR DISCOURSE ON "THE RIGHTS OF FUTURE GENERATIONS"

3 Mac 2021: YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah dijemput sebagai salah seorang pembincang di dalam Webinar Discourse on "The Rights of Future Generations" anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Webinar yang dimoderatorkan oleh Dr. Mohd Sani bin Badron dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi IKIM, YBhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid sebelum diteruskan dengan pembentangan tema webinar yang disampaikan oleh YBhg Datuk Emeritus Professor Dr. Shad Saleem Faruqi dari Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya.

Sesi kemudian diteruskan dengan perbincangan tema daripada 5 orang tokoh dalam pelbagai bidang dan YAA Dato' Setia Dr. selaku pembincang pertama telah berkongsi secara mendalam tentang hak setiap generasi termasuklah generasi yang akan datang di Malaysia dalam mendapatkan keadilan di mahkamah syariah.

Menurut YAA Dato' Setia Dr., sistem kehakiman syariah yang berpaksikan Al-quran dan Sunnah sememangnya sesuai diaplikasikan pada masa kini mahupun pada masa hadapan terutamanya apabila menyentuh bab akidah.

Jaminan bagi mendapatkan keadilan kepada pihak-pihak yang bertikai adalah amat penting bagi memastikan mereka berpuas hati dengan perjalanan kes yang dibawa ke mahkamah syariah.

JKSM selaku agensi persekutuan bagi menyelaras sistem kehakiman syariah sentiasa berusaha keras bagi memastikan keadilan dapat dicapai antaranya dengan penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bagi menguatkuasakan perintah nafkah, pembinaan Arahan Amalan, penyelarasan pengoperasian melalui pembinaan SOP berkaitan dan usaha mempromosikan penggunaan inovasi kepada negeri-negeri seperti perbicaraan secara dalam talian.

Menurut YAA Dato Setia Dr. lagi, setiap mahkamah syariah juga mempunyai KPI yang perlu dicapai setiap tahun bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat adalah yang terbaik.

Selain YAA Dato' Setia Dr., pembincang lain yang turut serta adalah Tuan Hj Roslan bin Mat Nor (Jabatan Peguam Negara), Encik Jufitri bin Joha (Presiden Majlis Belia Negara), Dato' Ahmad Nazim bin Abdul Rahman (Allied Investment Partners) dan Tn Hj. Ir. Mohd Jamaluddin bin Shamsudin (CEO ACCIN).