PROGRAM KHAS : LIBAT URUS MAQASID SYARIAH PERINGKAT AGENSI YB MENTERI DI JPM TAHUN 2021

24 Mac 2021 : Bahagian Latihan JKSM dengan Kerjasama Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Program Khas : Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Agensi YB Menteri Di JPM Tahun 2021 secara atas talian melalui aplikasi Cisco Webex.

Terdahulu program telah dimulakan dengan ucapan aluan dari YAA Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar, Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie. YAA Dato’ Setia Dr. di dalam ucapannya telah menyeru seluruh warga JKSM untuk memahami dasar Manhaj Rabbani yang berteraskan Maqasid Syariah.

Menurut YAA Dato' Setia Dr., program ini diadakan susulan titah dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, pada 18 Mei 2020 bahawa kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan akan terus dipertahankan selaras dengan ajaran Islam yang syumul dan dipacu oleh prinsip MAQASID SYARIAH, mewujudkan pentadbiran Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang hamoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat.

Selari dengan itu, YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) telah mengumumkan Dasar Manhaj Rabbani berteraskan Maqasid Syariah dan perlaksanaan i-MaqSD peringkat agensi-agensi Agama pada 25 Januari 2021 yang lalu.

Program kemudian diteruskan dengan ceramah bertajuk Tadbir Urus Berteraskan Maqasid Syariah dan Perlaksanaan I-MaqSD oleh Ustazah Nor Safina Binti Zainal yang merupakan Pengarah Bahagian Maqasid Syariah, JAKIM.

Objektif program ini adalah memastikan semua warga JKSM mempunyai pengetahuan dan terlibat di dalam urus tadbir berteraskan Maqasid Syariah dan menguar-uarkan kepada mengenai perlaksanaan I-MaqSD kepada semua agensi agama khususnya JKSM dan program ini telah disertai oleh pegawai dan kakitangan JKSM seramai 79 orang peserta secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex manakala 30 orang secara fizikal di Bilik Latihan Syariah, Bahagian Latihan.