MESYUARAT JAWATANKUASA PEMBINAAN MODUL PAKAR TURATH BIL 1 2021

31 Mac 2021- Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan Modul Pakar Turath Bil. 1 Tahun 2021 telah berjaya diurus setiakan oleh Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada hari ini secara fizikal yang dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Abu Suffian bin Abu Yaziz, Pengarah BPKR JKSM.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pembinaan Modul Pakar Turath yang terdiri daripada Pegawai-pegawai dari Seksyen Pembangunan Dasar Latihan JKSM, Pegawai Syariah JKSN Kelantan dan JKSN Terengganu yang dilantik, wakil-wakil daripada Yayasan Islam Kelantan dan Pensyarah-pensyarah dari Pusat Pengajian Pondok Moden, Bachok Kelantan.

Mesyuarat ini yang dijadualkan dua kali bagi tahun semasa adalah berfungsi bagi membincangkan modul pakar Turath di bawah seliaan Bahagian Latihan JKSM, yang mana pelanggan-pelanggan Bahagian Latihan ini adalah terdiri daripada seluruh Pegawai Syariah dan kakitangan di JKSM bahkan juga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-Negeri, Mahkamah Syariah Negeri-Negeri serta pegawai kader di seluruh Malaysia.

Jawatankuasa ini juga memainkan peranan penting dalam memastikan modul pakar turath sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaian bagi melahirkan para Pegawai Syariah yang pakar dalam hal ehwal hukum syarak yang kompeten dan dapat melaksanakan tugasan dan peranan dengan lebih mantap dan berkesan, selain disulami dengan sifat integriti dan rasa kesungguhan atas sesuatu tanggungjawab yang digalas, demi memberikan perkhidmatan keadilan Syariah dan memenuhi kemaslahatan ummah.

YBrs. Tuan Pengerusi dalam ucapan beliau menekankan fungsi utama JK ini dalam pembinaan modul pakar turath yang terbaik buat jabatan dan Pegawai Syariah yang dipilih menyertai projek ini serta harapan berkenaan kesinambungan kerjasama JKSM dengan Yayasan Islam Kelantan dalam konteks penyelarasan pembinaan modul dan tenaga pengajar serta pengiktirafan dapat diteruskan pada masa akan datang.

YBrs. Tuan Pengerusi juga turut merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Yayasan Islam Kelantan, Pusat Pengajian Pondok Moden, JKSN Kelantan selaku penganjur bersama dan seluruh ahli mesyuarat yang hadir atas komitmen dan idea yang bernas dalam menjayakan mesyuarat hari ini sekaligus melengkapkan perjalanan projek pakar Turath yang bermula secara rasminya pada tahun ini 2021 dan berakhir pada tahun 2025 nanti in ShaAllah.