LAWATAN RASMI KE TAPAK PEMBINAAN KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH PAHANG

31 Mac 2021: Delegasi JKSM yang diketuai oleh YAA. Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im Bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke tapak pembinaan Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pahang yang terletak di Kuantan, Pahang Darul Makmur.

Lawatan yang turut disertai oleh YAA Dato' Sri Abdul Rahman bin Md Yunus (Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang), Ketua Pendaftar JKSM dan Pengarah Kanan Pengurusan JKSM bertujuan melihat perkembangan terkini projek yang bernilai RM34 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung April tahun ini.

Sebelum memulakan lawatan tapak, satu taklimat ringkas telah disampaikan oleh Tuan Hj. Abu Bakar bin Md. Sidek, Pengarah Kanan Projek di mana tahap kemajuan projek adalah sebanyak 95.03%.

Diharapkan agar kerja-kerja akhir pembinaan kompleks ini dapat disiapkan dalam tempoh masa ditetapkan bagi memberi keselesaan kepada warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang dan pelanggan mahkamah syariah yang berurusan kelak.