KUNJUNG HORMAT KE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PAHANG

1 April 2021 | Delegasi JKSM yang diketuai oleh YAA Dato' Setia Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang di Kuantan, Pahang.

Delegasi yang turut disertai oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM, Ketua Pendaftar JKSM dan pegawai kanan JKSM telah disambut oleh YAA Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Md Yunos,
Ketua Hakim Syarie JKSN Pahang serta barisan kepimpinan JKSN Pahang.

YAA Dato' Setia Dr. dalam ucapan aluannya merakamkan jutaan penghargaan atas kesudian menyambut kehadiran delegasi JKSM yang kebetulan berada di Negeri Pahang sempena Mesyuarat Khas Seksyen Rayuan Bersama Hakim Rayuan Syariah JKSM dan Mesyuarat Pengurusan & Penyelarasan Kes Rayuan Bersama Hakim Rayuan Syariah JKSM & Ketua-Ketua Pendaftar JKSN/ MSN.

Menurut YAA Dato' Setia Dr., tujuan utama kunjungan ini adalah adalah bagi mengeratkan tali silaturrahim dan jalinan muhibbah antara JKSM dan JKSN Pahang tambahan pula KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Agama Islam Negara dan berasal dari Negeri Pahang.

KDYMM Seri Paduka Baginda sebagai pemimpin tertinggi negara dan negeri sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap institusi agama Islam melalui pandangan dan nasihat yang berguna khusus kepada JKSM dan justeru itu juga, beberapa program JKSM pada tahun ini akan diadakan di Negeri Pahang, antaranya Majlis MoU yang diadakan di antara JKSM, JKSN dan MSN, Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan SOP Sebatan di Luar Penjara dan Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di Mahkamah Syariah.

Kedua-dua garis panduan ini merupakan salah satu pengaplikasian Maqasid Syariah yang menjadi dasar kerajaan kepada pelaksanaan dalam sistem kehakiman dan perundangan Syariah dan termasuk di dalam indicator I-MaqSD di mana ianya dirangka bagi mengukur secara saintifik tahap pengaplikasian maqasid Syariah dalam pelaksanaan fungsi-fungsi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Selain itu, YAA Dato' Setia Dr. turut memaklumkan bahawa Majlis Muhasabah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diadakan pada 18 Mac 2021 telah mengkehendaki institusi agama di bawah potfolio YB Menteri sentiasa mengadakan hubungan dan kerjasama Persekutuan melalui hubungan yang harmoni dan segala isu berbangkit berkaitan hendaklah dibincang bersama atas dasar hormat-menghormati.

Di akhir ucapan, YAA Dato' Setia Dr. mendoakan semoga YAA Dato’ Sri dan warga JKSN Pahang diberikan kesihatan yang baik dan kemampuan oleh Allah SWT untuk memimpin dan mentadbir JKSN Pahang seterusnya berkeupayaan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan Mahkamah Syariah Negeri Pahang.