Isnin 23 September 2019
Text Size

 

Mahkamah Syariah

  • AMANAT YAA DATO' KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE KEPADA WARGA MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN (MSWP)

    Satu majlis amanat YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah diadakan di Glossary Link Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pagi ini.

    Majlis yang dihadiri oleh semua warga MSWP Kuala Lumpur dan Putrajaya tersebut telah dimulakan dengan ucapan aluan daripada YAA Tuan Haji Ibrahim bin Deris, Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan.

    YAA Dato’ telah diberi penghormatan untuk menyampaikan amanat selama hampir sejam, yang memfokus kepada isu amanah dan integiti.

    Semua warga MSWP terutamanya yang bertugas di barisan hadapan, hendaklah sentiasa melaksanakan tugasan dengan penuh hikmah dan berhemah kerana barisan hadapan sangat penting dalam memberikan persepsi awal kepada masyarakat tentang sistem pentadbiran mahkamah secara keseluruhannya.

    Akhlak yang baik dan mulia hendaklah diterapkan dalam jiwa setiap warga mahkamah agar apa jua yang hendak dilakukan berteraskan nilai-nilai murni dan integriti.

    YAA Dato’ juga menyeru semua warga MSWP untuk bersama-sama beliau memajukan institusi kehakiman syariah di samping mengalu-alukan sebarang idea mahupun kritikan demi kebaikan semua.

    Ini kerana YAA Dato’ bukan sahaja berharap untuk membawa Institusi Kehakiman Syariah ke arah kecemerlangan dunia malah turut berjaya di akhirat.


    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
    9 APRIL 2019

    Lihat Gambar

  • LAWATAN TAPAK CADANGAN PENUBUHAN AKADEMI KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA

    YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar telah mengadakan lawatan tapak ke Pusat Komuniti Pasir Panjang, Port Dickson pada pagi ini bagi meninjau tapak cadangan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia.

    YAA Dato’ akan mengadakan pertemuan dan perbincangan awal berkenaan perkara ini dengan YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson dalam masa terdekat.

    Penubuhan Akademi Kehakiman Syariah ini bakal memperkasakan lagi pegawai-pegawai Syariah di seluruh Malaysia khususnya para hakim syarie dengan latihan-latihan yang lebih intensif, inovatif dan komprehensif yang bakal diperolehi di akademi tersebut.

    Ini bertepatan dengan kehendak YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar Institusi Kehakiman Syariah menjadi Institusi yang unggul menjelang tahun 2025.


    UNIT KOMUNIKASI  KORPORAT JKSM
    22 APRIL 2019

    Lihat Gambar

  • LAWATAN TAPAK PROJEK KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH DI LIKAS, KOTA KINABALU, SABAH DAN MESYUARAT TAPAK BERSAMA KONTRAKTOR DAN JKR PERSEKUTUAN DAN NEGERI

    YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah mengadakan lawatan Lawatan Tapak Projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada jam 2.00 petang tadi.

    Sebelum lawatan tapak itu diadakan, YAA Dato’ Dr. telah diberikan penerangan dan taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat pembinaan yang terlibat dengan pembangunan projek tersebut. Antara penerangan yang diberikan adalah tentang senireka bangunan dan perkembangan pembinaan yang kini telah mencapai 44%.

    Antara wakil-wakil yang turut hadir ialah YA Tuan Ahmad Din OKK Othman (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah), Puan Surayah binti Ramlee (Ketua Pendaftar JKSN Sabah), Encik Basyid bin Hamid (Jurutera Kanan) dan Puan Narima Hanim binti Zainal Abidin (Arkitek Penguasa Kanan JKR Persekutuan).

    Semasa taklimat tersebut, YAA Dato’ Dr. juga mengambil kesempatan melahirkan harapan agar projek yang dijalankan dapat diselesaikan dengan lancar mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan. Ini bagi merealisasikan hasrat Jabatan agar bangunan yang siap kelak dapat menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa kepada para pelanggan mahkamah sekaligus menaikkan imej JKSM dan institusi kehakiman secara menyeluruh.


    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
    13 Jun 2019

    Lihat Gambar

  • MAJLIS AMANAT KETUA PENGARAH / KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM) KEPADA WARGA MAHKAMAH WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN (MSWPL)

    YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah menyampaikan amanat beliau kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Labuan sebelum Prosiding Kes Rayuan di Labuan dimulakan.

    Antara intipati ucapan beliau ialah menekankan tentang betapa pentingnya setiap warga MSWPL sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik, bersifat empati dan pro-aktif dalam melayani setiap pelanggan yang hadir ke mahkamah. Ini kerana para pelanggan yang hadir ke MSWPL kebiasaannya terdiri daripada pelbagai etnik dan suku yang sentiasa meletakkan ekspektasi yang tinggi semasa ingin mendapatkan perkhidmatan di MSWPL.

    YAA Dato’ Dr. juga telah menyentuh isu integriti di kalangan warga MSWPL bersesuaian dengan motto Amanah yang diilhamkan oleh beliau. Adalah sangat kritikal agar semua pegawai dan kakitangan MSWPL untuk mempunyai jati diri yang kukuh dan teguh berlandaskan nilai-nilai murni seperti jujur, adil dan bertanggungjawab. Ini bagi mengelakkan berlakunya gejala-gejala negatif seperti penyalahgunaan kuasa, korupsi, pengurusan birokratik dan berbagai-bagai bentuk penipuan atau kecuaian yang sering berlaku dalam pengurusan pentadbiran.

    Justeru, pihak pentadbiran MSWPL juga hendaklah tidak memandang enteng akan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau pun kedudukan, eksploitasi terhadap kelemahan dalam prosedur demi keuntungan peribadi agar imej dan nama baik Jabatan akan sentiasa terpelihara di mata masyarakat. Andainya berlaku juga perkara yang sedemikian, pihak pentadbiran perlu tegas bagi mengenakan tindakan sewajarnya kepada si pelaku. Ini selari dengan tema Hari Pekerja 2019 itu sendiri iaitu “Pekerja Amanah, Aspirasi Negara”.

    YAA Dato’ Dr. juga turut menyeru semua warga MSWPL untuk membuat reformasi minda dalam cara bekerja seperti memberi nafas baharu kepada kaedah dalam menyebarluaskan lagi perkhidmatan yang ditawarkan. Semua warga MSWPL hendaklah sentiasa turun padang dan melihat sendiri pemasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Mereka juga perlu memiliki sikap berdaya saing, kreatif dan inovatif dalam melakukan setiap tugasan.

    Semoga dengan anjakan paradigma dalam perkhidmatan warga MSWPL ini dapat membantu usaha Kerajaan menjadikan Malaysia Sebagai Model Pentadbiran Islam Terunggul Yang Progresif dan Inklusif Menjelang 2025.

    Turut hadir pegawai dan kakitangan gred LS di JAPENS dan JBG cawangan Labuan.


    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
    2 MEI 2019

    Lihat Gambar

  • MAJLIS AMANAT YAA KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA BERSAMA WARGA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SEMBILAN

    Satu majlis penyampaian amanat YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah diadakan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS), Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada hari ini.

    Program tersebut telah dihadiri oleh semua Pegawai dan Kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan termasuklah Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan,  Penolong Penasihat Undang-Undang (Syariah) Negeri Sembilan,  Jabatan Bantuan Guaman dan Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan.

    Justeru, dalam amanat beliau, YAA Dato’ Dr. telah menekankan beberapa elemen penting yang perlu diterapkan dalam peribadi seorang Peguam Syarie. Antaranya setiap tindakan yang dilakukan hendaklah berlandaskan akal fikiran yang rasional, amanah dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Setiap tugasan yang dilakukan hendaklah dalam keadaan yang penuh tawaduk atas kesedaran setiap pekerjaan itu merupakan satu ibadah kepada yang Esa.

    Keperibadian ini sangat berkait rapat dengan motto CENDIKIA yang dicipta oleh YAA Dato’ Dr. iaitu Cendikiawan, Ikhlas dan Amanah. Seorang Peguam Syarie membawa peranan sebagai ‘Rakan Mahkamah’ (Officers of the Court) yang perlu menyelesaikan kes-kes dengan penuh adil dan saksama. Setiap hujah yang disampaikan hendaklah dibahaskan dengan penuh intelek dan berfakta. Janganlah berhujah seperti ‘tin kosong’ yang hanya petah berkata-kata tapi pengisiannya penuh dengan kebatilan.

    YAA Dato’ Dr. juga telah menyampaikan rasa bangga beliau terhadap Pegawai dan Kakitangan JKSNS yang telah menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sesuai dengan motto Cendikiawan yang sentiasa diwar-warkan oleh YAA Dato’ Dr.

    Antara pegawai yang terlibat adalah Tuan Suhaizad bin Saifuddin yang sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat PHD. Manakala tiga (3) orang pegawai pula sedang menyambung pengajian secara Pelan Pembangunan Bidang Kejaya hasil MoU JKSM dgn USIM iaitu Puan Ruzita bt Ramli (PhD), Tuan Abdul Halim b. Muhammad (Sarjana) dan Tuan Jimmy b. Mohd Azlin (Sarjana).

    YAA Dato’ Dr. turut berbangga  dengan kejayaan JKSNS yang berjaya mengekalkan Anugerah 5 Bintang dalam Audit AI (Accountability Index).

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
    26 April 2019

    Lihat Gambar

  • MAJLIS PELANCARAN PROGRAM DARI MAHKAMAH KE BILIK DARJAH (MYC2C)

    YAA Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah menghadiri Majlis Pelancaran Program Dari Mahkamah Ke Bilik Darjah (MYC2C) yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1), Putrajaya.

    Program yang julung-julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum;  bertujuan untuk menerapkan ilmu berkaitan undang-undang dalam kalangan pelajar dari peringkat awal sekaligus mendidik pelajar dan golongan muda untuk menghormati undang-undang negara ini.

    Antara pengisian program ini adalah lawatan ke mahkamah, hakim ke sekolah dan peguam muda yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam serta pejabat pendaftar mahkamah seluruh negara.

    Idea MYC2C dicetuskan oleh Tan Sri Richard sendiri sebelum diterjemaahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), dengan kerjasama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    Tan Sri Richard berkesempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan YAA Dato’ sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie dalam ucapan perasmian beliau.

    Jemputan ini juga merupakan satu permulaan hubungan baik antara dua institusi kehakiman negara.

    Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Shaari Osman.

     
    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
    JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA
    8 APRIL 2019

    Lihat Gambar

  • MAJLIS PENYAMPAIAN AMANAT YAA DATO' KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE JKSM BERSAMA WARGA MAHKAMAH SYARIAH NEGERI MELAKA

    YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah menyampaikan amanat kepada warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka pada pagi ini.

    MSN Melaka merupakan Institusi Kehakiman yang keempat dikunjungi oleh YAA Dato' Dr. sejak dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM mulai 1 April 2019.

    Sebelum ini YAA Dato' Dr. telah menyampaikan amanat di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.

    Satu majlis penyampaian sijil oleh pengarah JAIM kepada YAA Dato' Dr. turut diadakan atas pengiktirafan kafetaria Mahkamah Syariah Negeri Melaka yg menjadi kafeteria Mahkamah Syariah pertama di Malaysia yang mendapat pensijilan halal.

    MSN Melaka juga merupakan Mahkamah Syariah pertama di Malaysia yang telah mewujudkan bilik penyusuan di Mahkamah Syariah.

    YAA Dato' Dr. akan mengunjungi JKSN Pulau Pinang esok dan seterusnya Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan sempena rangka lawatan beliau ke JKSN/MSN seluruh Malaysia.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
    23 April 2019

    Lihat Gambar

  • YAA DATO' KETUA PENGARAH/KETUA HAKIM SYARIE MENYAMPAIKAN AMANAT KEPADA WARGA JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI SELANGOR (JAKESS)

    YAA Dato' Dr. Mohd Na'im Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM telah sudi menyampaikan amanat kepada warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor pada pagi ini.

    Ia merupakan penghargaan kepada semua warga JAKESS kerana menjadi jabatan kehakiman syariah negeri yang pertama mendapat kunjungan YAA Dato' sempena YAA Dato' memulakan karier sbg Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie berkuatkuasa pada  hari ini (1 April 2019).

    Dalam ucapan beliau, YAA Dato'  menganggap bahawa pelantikan beliau sebagai peneraju kehakiman syariah bukanlah satu keistimewaan malah ianya satu amanah yang sangat besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan kesabaran.

    YAA Dato' juga menyeru semua warga JAKESS dan semua pegawai dan kakitangan syariah di seluruh Malaysia agar bersama-sama mengembleng tenaga dengan beliau untuk meningkatkan lagi mutu sistem kehakiman syariah  sekaligus mengubah persepsi negatif masyarakat awam terhadap Mahkamah Syariah.

    YAA Dato' juga telah memperkenalkan moto baharu beliau iaitu C.I.A yang membawa maksud "Cendikiawan, Ikhlas dan Amanah".

    Beliau berpandangan bahawa reformasi sistem kehakiman syariah ini hendaklah berlandaskan tiga perkara ini bagi memastikan semua pegawai dan kakitangan dapat menjalankan amanah dengan penuh berilmu, tawaduk dan berintegriti.

    YAA Dato' yakin dengan menyemai niat bahawa pekerjaan itu merupakan satu ibadah, maka moto C.I.A itu akan mudah difahami dan dipraktikkan oleh semua warga jabatan.

    Ini sekaligus memastikan hasrat pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kehakiman syariah di seluruh Malaysia tercapai.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
    1 APRIL 2019

    Lihat Gambar